Tiga motosikal bertembung, dua maut

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TAIPING - Dua penunggang motosikal maut, manakala seorang cedera ringan apabila tiga motosikal bertembung di Jalan Taiping-Selama di hadapan Taman Kamunting Mutiara, Kamunting pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 8.40 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Shafarulnizam Mat , 35 dan Mohd Saafiee Saidin, 59, manakala Muhd Iswandi Baharuddin, 25 pula cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner, Mohamad Taib berkata semasa kejadian Mohd Shafarulnizam dan Muhd Iswandi sedang dalam perjalanan dari Batu Kurau ke Kamunting, manakala Mohd Saafiee dari arah bertentangan.

“Siasatan mendapati Mohd Saafiee dipercayai memasuki lorong bertentangan untuk menyeberang jalan menyebabkan Mohd Shafarulnizam tidak sempat membrek lalu bertembung dengan motosikal ditunggang Mohd Saafiee manakala Muhd Iswandi pula tidak dapat mengelak kemalangan di hadapannya menyebabkan motosikalnya terbabas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad berkata Mohd Shafarulnizam seorang pekerja swasta dan Mohd Saafiee pesara kerajaan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Muhd Iswandi mendapatkan rawatan di Hospital Taiping.

Beliau kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- Bernama.

Artikel Berkaitan: