IMF yakin komitmen Malaysia dalam pembaharuan institusi

Christine Lagarde. - Foto sumber internet
Christine Lagarde. - Foto sumber internet
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Christine Lagarde yakin terhadap komitmen Malaysia kepada pembaharuan institusi, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata, pembaharuan ini termasuk meluluskan akta tanggungjawab fiskal dan akta pemerolehan, selain menubuhkan pejabat pengurusan hutang.

Menurutnya, pembaharuan ini merupakan komitmen Malaysia bagi memastikan usaha untuk menyemak semula dan mengurus hutang dan liabiliti kerajaan.

“Beliau sangat positif dan menyokong," kata Guan Eng mengenai pertemuannya dengan Lagarde di Kementerian Kewanan hari ini.

Ketua IMF itu berada di Malaysia untuk lawatan dua hari.

Guan Eng berkata, berdasarkan prestasi suku pertama 2019, pelabur asing terus yakin ke atas unjuran ekonomi negara susulan pembaharuan yang djalankan oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

Mengikut laporan, pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan pada suku pertama 2019 melonjak sebanyak 73.4 peratus kepada RM29.30 bilion berbanding RM16.90 bilion tahun lepas.

"Menerusi kesemua faktor ini - ekonomi, kecekapan, pembaharuan institusi - asas ekonomi kukuh dengan prospek yang optimistik pada masa depan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai peralihan pelaburan susulan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, Guan Eng berkata ia memberi manfaat kepada Malaysia dalam jangka pendek.

"Dalam jangka panjang, semua orang rugi dan tiada yang menang. Ya kami (Malaysia) meraih manfaat (daripada peralihan pelaburan dan perdagangan) namun kami mengharapkan perang perdagangan ini diselesaikan,” katanya. - Bernama