Imunisasi demam campak dijalankan di kawasan orang asli - Dzulkefly

Dzulkefly Ahmad
Dzulkefly Ahmad
A
A
A

PUTRAJAYA - Pejabat kesihatan daerah di Kelantan, Terengganu dan Pahang giat menjalankan imunisasi demam campak kepada komuniti orang asli di kawasan terlibat dan lokaliti berhampiran.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan tersebut diambil berikutan situasi terkini kejadian wabak demam campak dalam kalangan orang asli di Kuala Koh, Gua Musang Kelantan; Kampung Gerdong, Hulu Terengganu, Terengganu; dan Kampung Ulu Sat, Jerantut, Pahang.

“Sehingga 23 Jun, satu kes baru disyaki demam campak dilaporkan dari komuniti orang asli di Kampung Gerdong, Hulu Terengganu, Terengganu menjadikan jumlah kes sebanyak 14 kes, dengan sepuluh kes disahkan demam campak melalui ujian makmal.

“Tiada kes baru dikesan dari Kampung Ulu Sat, Jerantut, Pahang menjadikan bilangan kes sehingga 23 Jun sebanyak lapan kes, dengan empat kes disahkan demam campak melalui ujian makmal.

“Kesemua kes dari dua buah kampung ini mempunyai sejarah pergerakan atau kontak dengan komuniti dari Kuala Koh, Gua Musang. Tiada penularan jangkitan demam campak melibatkan perkampungan lain dilaporkan dan pemantauan diteruskan oleh semua Jabatan Kesihatan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, dua kes baru dengan gejala saluran pernafasan dari Kampung Kuala Koh, Gua Musang telah dikesan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, iaitu satu kes dilaporkan pada 22 Jun dan satu kes dilaporkan pada 23 Jun.

“Kes yang dilaporkan pada 22 Jun merupakan seorang wanita berusia 49 tahun, kini dirawat di Wad Isolasi Hospital Gua Musang. Manakala kes yang dilaporkan pada 23 Jun adalah seorang lelaki berumur 30 tahun kini dirawat di Wad Isolasi Hospital Kuala Krai.

“Kedua-dua kes berada dalam keadaan stabil. Ini menjadikan kumulatif kes sejak 3 Jun hingga 23 Jun sebanyak 118 kes dengan gejala saluran pernafasan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Dzulkefly berkata, daripada jumlah tersebut, 49 kes telah disahkan demam campak melalui ujian makmal.

“Pada 23 Jun, sebanyak 44 kes masih dirawat di hospital iaitu 42 kes di wad biasa dan dua kes di Unit Rawatan Rapi di Hospital Kuala Krai.

“Sejumlah sembilan kes dengan gejala ringan ditempatkan di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli (Rika) di Gua Musang, manakala 23 kes lagi ditempatkan di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Gua Musang,” katanya.

Tambahnya, sehingga semalam, tiada kes kematian baru dan kes kematian yang dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) kekal tiga.

“Ketiga-tiga kes kematian ini telah disahkan demam campak melalui ujian makmal. Manakala bedah siasat ke atas 12 mayat yang ditemui telah dijalankan serta sampel dihantar ke makmal dan sedang dijalankan ujian bagi mengetahui punca sebenar kematian.

“Pemeriksaan antropologi juga telah dijalankan ke atas 12 mayat ini untuk menentukan jantina, umur, bangsa, ketinggian dan jangka masa kematian. Keputusan pemeriksaan belum diterima,” katanya.