1MDB: Pengurusan kes Goldman ditetapkan 30 September

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 30 September untuk pengurusan kes syarikat Goldman Sachs Group Inc yang menghadapi tuduhan jenayah berhubung terbitan bon bernilai AS$6.5 bilion yang berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Majistret Mohamad Fared Abdul Latif yang menetapkan tarikh itu bagi membenarkan lebih banyak masa diberikan untuk membolehkan dokumen mahkamah itu diserahkan dengan teratur kepada pasukan pembelaan oleh pihak pendakwaan.

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Golden Sachs, memohon tarikh sebutan baharu kerana mereka memerlukan lebih banyak masa untuk mendapatkan arahan daripada anak guam mereka yang berada di luar negara.

Beliau juga berkata pasukan pembelaan hanya menerima tiga daripada empat pertuduhan yang diserahkan kepada unit Goldman Singapura dan ia tidak lengkap.

Timbalan Pendakwa Raya Aaron Chelliah berkata keempat-empat saman itu telah diserahkan kesemuanya memandangkan Goldman Sachs (Asia) LLC yang berpangkalan di London mempunyai dua alamat, manakala pertuduhan itu turut dihantar ke Goldman Sachs International (UK) dan Goldman Sachs (Singapura) pada minggu lepas. Goldman Sachs menafikan semua tuduhan tersebut.

Pada 19 Dis tahun lepas, bekas ahli perbankan Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan memainkan peranan dalam pengeluaran bon berkaitan 1MDB.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menganggarkan sekitar AS$4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB antara 2009 dan 2014, termasuk sebahagian dana yang dibantu oleh Goldman Sachs.- Bernama

Artikel Berkaitan: