Penduduk bimbang sungai makin sempit

Jasbir menunjukkan sungai yang semakin sempit disebabkan tumbuhan air yang memenuhi permukaan sungai tersebut.
Jasbir menunjukkan sungai yang semakin sempit disebabkan tumbuhan air yang memenuhi permukaan sungai tersebut.
A
A
A

MALIM NAWAR - Keadaan Sungai Air Itam berhampiran Kampung Sikh Settlement, Tanjung Tualang, di sini yang kelihatan sempit selepas permukaannya dipenuhi tumbuhan, membimbangkan penduduk.

Seorang penduduk, Jasbir Singh, 43, berkata, melihat keadaan itu, penduduk mula bimbang kejadian banjir besar pada tahun 2017 kembali semula.

Menurutnya, ketika tahun tersebut, sebanyak 29 rumah di kampung tersebut terjejas dan terpaksa dipindahkan.

"Kita bimbang banjir berulang. Sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan banjir tidak lagi berlaku dan yang pasti sungai ini perlu dibersihkan.

"Sekarang ini musim panas jadi taklah berlaku apa-apa. Jadi langkah awal perlu diambil sebelum kejadian lebih buruk berlaku kerana kita sudah pun lihat tanda-tandanya," katanya kepada Sinar Harian.

Jasbir yang tinggal di perkampungan itu sejak lahir dan jarang berlaku banjir kerana sebelum ini sungai tersebut mengalir dengan baik biarpun hujan lebat.

Sebahagian kawasan belakang rumah salah seorang penduduk yang dinaiki air di Kampung Sikh Settlement, di sini.
Sebahagian kawasan belakang rumah salah seorang penduduk yang dinaiki air di Kampung Sikh Settlement, di sini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bukan sahaja di Kampung Sikh Settlement, Kampung Pasir Batu 10 yang berhampiran dengan sungai itu juga turut berdepan ancaman sama.

Sementara itu, penduduk Kampung Pasir Batu 10, Ainon Mohamad, 60, berkata, ketika banjir pada tahun 2017 yang lalu, banjir sehingga paras 1 meter memenuhi rumahnya.

Katanya, banjir yang berlaku ketika itu sangat cepat sehinggakan dia tidak sempat untuk menyelamatkan barang-barang.

"Ketika itu semua penduduk yang berhampiran dengan sungai ini terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara kerana keadaan membahayakan.

"Kami sebenarnya tak sanggup lagi nak berdepan dengan keadaan ini. Nak angkut barang-barang tambahan lagi ada ahli keluarga yang kurang upaya," katanya.

Ainon berkata, setiap kali hujan lebat dan air melimpah ke jalan, ahli keluarganya mula trauma insiden tahun 2017 akan berulang.

Dia turut mengharapkan sesuatu dilakukan terhadap sungai tersebut bagi mengelakkan banjir berulang.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su yang dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya telah menerima aduan mengenai perkara berkenaan.

Katanya, pihak berkaitan juga telah dimaklumkan berhubung perkara tersebut dan tindakan akan diambil dalam masa terdekat.