Penggunaan naltrexone dalam kajian: Dzulkefly

Dzulkefly (dua dari kanan) ketika ditemui pada sidang media di KDN, hari ini.
Dzulkefly (dua dari kanan) ketika ditemui pada sidang media di KDN, hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan akan memutuskan sama ada naltrexone boleh digunakan sebagai antidot atau terapi gantian pemulihan penagihan dadah sebaik sahaja kajian menyeluruh selesai dalam masa terdekat ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ketika ini pihak kajian negara sedang meneliti kegunaannya melibatkan aspek peraturan dan kegunaan kesihatan bagi menjadikan ia sebagai amalan dalam kesihatan.

Menurutnya, penggunaan ubat jenis naltrexone dikatakan mampu merawat pelbagai ketagihan khususnya dadah.

"Saya tahu ada permintaan beberapa pihak untuk gunakan naltrexone bagi rawatan pemulihan, di mana kita telah mulakan dengan methadone.

"Permintaan tersebut sedang kami proses dan kami perhatikan juga dari sudut peraturan untuk jadikan ia amalan kesihatan, namun ia memerlukan sedikit kajian.

"Saya rasa dalam masa terdekat kita dapat lakukan (tentukan) untuk kita gunakan sebagai terapi gantian," katanya pada sidang media selepas mesyuarat bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai permintaan pemain industri klinikal yang mahu menggunakan naltrexone sebagai terapi gantian seperti methadone.

Turut hadir, Menteri KDN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Norhisham Abdullah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Dr Dzulkefly mengesahkan terdapat 70 kes baharu melibatkan sesak nafas yang berlaku di Pasir Gudang, Johor.

Namun, katanya, tiada kes dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) atau kematian direkodkan membabitkan kejadian tersebut.

"Setakat jam 12 tengah hari ini, sebanyak 101 kes sesak nafas telah dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan," katanya.

Terdahulu, kejadian sesak nafas melibatkan 30 pelajar dari Sekolah Menengah Tanjung Puteri Resort dan terbaru di Sekolah Menengah Taman Rinting 2 kembali mengundang kebimbangan penduduk di Pasir Gudang, susulan insiden sama yang berlaku beberapa bulan lalu.