Prosiding hina mahkamah terhadap Rafizi dibatalkan

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini membatalkan kebenaran diperoleh National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan pengerusi eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Mohd Rafizi selepas kes itu disebut di dalam kamar Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad hari ini.

Razlan Hadri memberitahu, mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati prosiding menghina mahkamah terhadap anak guamnya tidak berasas kerana Mahkamah Rayuan baru-baru ini membenarkan rayuan mereka untuk mengetepikan saman NFCorp dan Mohamad Salleh.

Prosiding menghina mahkamah berkenaan adalah berkaitan artikel disiarkan bekas ahli Parlimen Pandan itu di blog dan Facebook Mohd Rafizi membabitkan NFC.

"Mahkamah hari ini mendapati tiada asas kepada prosiding komital berkenaan, maka mahkamah membatalkan kebenaran diperoleh NFCorp dan Mohamad Salleh," katanya.

Jelas Razlan Hadri, pihaknya memaklumkan kepada mahkamah berhubung perintah Mahkamah Rayuan yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Mohd Rafizi memfitnah.

Dalam keputusan itu mahkamah juga memerintahkan anak guamnya membayar ganti rugi RM200,000 kepada NFCorp dan Mohamad Salleh.

Bagaimanapun, kata beliau sekiranya NFCorp dan Mohamad Salleh menang dalam rayuan saman berkenaan di Mahkamah Persekutuan, mereka boleh memfailkan semula permohonan prosiding menghina mahkamah tersebut.

Dalam pada itu Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang hadir mewakili Mohamad Salleh berkata, pihaknya telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengetepikan saman mereka.

Pada masa yang sama mahkamah menetapkan 11 Julai untuk sebutan semula kes.

Pada 23 Mei 2017, Mohamad Salleh dan NFCorp memperoleh kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Mohd Rafizi selepas beliau sekali lagi menerbitkan artikel berhubung NFCorp walaupun terdapat perintah mahkamah yang menghalangnya berbuat demikian.

Mohd Rafizi turut memohon untuk mengetepikan prosiding menghina mahkamah yang diperoleh Mohamad Salleh dalam kes saman difailkan Mohamad Salleh dan NFCorp terhadap Mohd Rafizi berhubung pembelian hartanah di KL Eco City, Bangsar.

Pada 31 Oktober 2016, Mahkamah Tinggi membenarkan saman yang difailkan Mohamad Salleh dan NFCorp selepas mendapati Mohd Rafizi memfitnah mereka berhubung pembelian hartanah itu dan memerintahkan Mohd Rafizi membayar ganti rugi berjumlah RM200,000 kepada kedua-dua plaintif.

Bagaimanapun, mahkamah menolak saman Mohamad Salleh dan NFCorp terhadap Malaysiakini, yang dinamakan sebagai defendan kedua, dan memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM50,000 kepada portal berita berkenaan.

Pada 13 Mei lepas, Mohd Rafizi menang dalam rayuannya untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi terhadapnya yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi RM200,000 kepada Mohamad Salleh dan syarikatnya kerana memfitnah.

Mahkamah turut mengarahkan Mohamad Salleh untuk memulangkan sejumlah RM300,000, termasuk RM200,000 sebagai ganti rugi dan RM100,000 sebagai kos yang telah dibayar Mohd Rafizi kepada Mohamad Salleh.