Vaksin bersepadu untuk orang asli tiga negeri

Dr Zaini (dua, kanan) ketika menghadiri majlis sambutan Aidilfitri peringkat Pejabat Bahagian Farmasi Kelantan semalam.
Dr Zaini (dua, kanan) ketika menghadiri majlis sambutan Aidilfitri peringkat Pejabat Bahagian Farmasi Kelantan semalam.
A
A
A

KOTA BHARU - Vaksin bersepadu akan digerakkan untuk orang asli di tiga negeri selepas kawasan berkenaan dilanda wabak measles atau demam campak sejak awal bulan lalu.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini H​​ussin berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan di peringkat kementerian pada 25 Jun ini bagi merangka strategi aktiviti bersepadu tiga negeri berkenaan.

Menurutnya, sehingga kini, data tepat bilangan orang asli yang belum divaksin masih tidak dapat dipastikan berikutan sesetengah pergerakan mereka yang berpindah randah.

“Mesyuarat itu nanti bertujuan untuk maksimumkan liputan kawasan vaksin di sekitar lokasi berkenaan. Hal ini kerana kita sukar untuk menentukan jumlah sebenar yang belum divaksin sebab itulah kita perlukan bantuan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk bantu.

“Pada mulanya kita ingatkan di Kuala Koh sahaja yang terlibat, namun kini ia juga melibatkan orang asli di Terengganu dan Pahang.

“Justeru, gerakan vaksin bersepadu akan dilakukan agar merangkumi orang asli di kawasan Pantai Timur. Ia bukan sahaja bagi suku Bateq di Kuala Koh, malah melibatkan orang asli dan penduduk pinggir Jerantut dan Kenyir,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Aidilfitri Pejabat Bahagian Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan semalam.

Dr Zaini berkata, kelmarin semua 15 jenazah orang asli telah selesai dibedah siasat dan diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) untuk disemadikan mengikut tatacara Islam.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, semua hasil forensik 15 jenazah itu telah dihantar ke Jabatan Kimia dan Makmal Kesihatan Awam Hospital Jabatan Sungai Buluh dan keputusan dijangka diperoleh dalam masa seminggu.

“Keputusan sampel forensik itu nanti dijangka diumumkan Menteri Kesihatan atau Ketua Pengarah sendiri.

“Mengenai perkembangan terkini semua mangsa yang berada di hospital Raja Perempuan Zainab II, Hospital Kuala Krai dan Hospital Gua Musang, mereka menunjukkan perkembangan positif,” katanya.

Sementara itu, semalam Kementerian Kesihatan mengumumkan tiga kes terbaharu dikesan di Kuala Koh dengan gejala saluran pernafasan.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataannya memaklumkan seorang kanak- kanak 11 tahun serta wanita 24 tahun dirawat di Wad Isolasi Hospital Kuala Krai dan seorang remaja 18 tahun dirawat di Wad Isolasi Hospital Gua Musang.

Ia menjadikan kumulatif kes gejala pernafasan sejak 3 hingga 21 Jun sebanyak 116 kes, dan 47 kes daripada jumlah itu disahkan sebagai measles (demam campak).

Sehingga tarikh itu juga, sebanyak 12 kes dengan gejala ringan ditempatkan di Rumah Inap orang Asli (RIKA) Gua Musang, 14 kes di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Gua Musang dan tiada kematian terbaru dicatatkan.