Calon pilihan Erdogan tewas pilihan raya Datuk Bandar Istanbul

Datuk Bandar Istanbul yang baharu, Ekrem Imamoglu melambai kepada para penyokongnya. - Foto AFP
Datuk Bandar Istanbul yang baharu, Ekrem Imamoglu melambai kepada para penyokongnya. - Foto AFP
A
A
A

ISTANBUL - Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berdepan kekalahan memalukan semalam ekoran kemenangan calon pembangkang dalam pilihan raya Datuk Bandar Istanbul yang diadakan untuk kali kedua.

Ekrem Imamoglu memenangi pilihan raya kali pertama pada Mac lalu dengan margin tipis 13,000 undi mengatasi calon pilihan Erdogan, Binali Yildrim.

Yildrim mempertikai keputusan pilihan raya terbabit dan pilihan raya baharu terpaksa dijalankan.

Selepas kemenangannya digugurkan ekoran dakwaan penipuan, Imamoglu berikrar memperjuangkan demokrasi sekali gus menjadikan namanya sebutan ramai.

Agensi berita Anadolu melaporkan, dengan hampir 99 peratus undi yang telah dikira semalam, Imamoglu mencapai kemenangan apabila mendahului dengan lebih 775,000 undian bersamaan 54 peratus sementara Yildrim memperoleh 45 peratus undi.

"Ini bukan kemenangan satu kumpulan atau parti sebaliknya keseluruhan Istanbul dan Turki memenangi pilihan raya ini," kata Imamoglu dalam ucapan kemenangannya.

"Tuan Presiden, saya sedia bekerjasama secara harmoni dengan anda. Saya menyatakan hasrat untuk bertemu anda dalam masa terdekat," tambah Imamoglu.

Para pengkritik menuduh Erdogan enggan melepaskan kuasa terhadap Istanbul yang juga pusat ekonomi Turki sejak beliau sendiri memenangi jawatan datuk bandar, suku abad yang lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pemimpin Turki itu dikatakan menerima kekalahan pada kali ini.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Ekrem Imamoglu yang memenangi pilihan raya berdasarkan keputusan awal," tulis Erdogan di laman Twitter. - AFP