Buku Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM: Johari beri keterangan di Bukit Aman

Johari tiba di Bukit Aman untuk memberi keterangan berkaitan buku yang ditulis mengenai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.
Johari tiba di Bukit Aman untuk memberi keterangan berkaitan buku yang ditulis mengenai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Datuk Johari Abdul hari ini menyerahkan dokumen berkaitan kepada polis berhubung buku yang ditulis mengenai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwanya berunsur fitnah.

Johari tiba di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sekitar jam 9.45 pagi bersendirian tanpa diiringi peguamnya.

Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata, beliau diminta ke Bukit Aman hari ini untuk memberikan keterangan terhadap laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Damansara 20 Jun lalu.

"Saya juga ada bawa dokumen-dokumen maklumat berkaitan kes ini, akan saya serahkan kepada pegawai penyiasat.

"Isu yang saya bangkitkan adalah bukan isu fitnah. Isu itu biarkan Anwar yang handle (uruskan) samaada dia nak tuduhan atau laporan polis atau apa sahaja.

"Isu saya adalah isu peras ugut yang saya kira berat. Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk pastikan apa juga yang dibuat ini satu yang tak elok jadi saya mesti hentikan tindakan ini," katanya ketika ditemui pemberita diperkarangan Bukit Aman di sini hari ini.

Pada 19 Jun, Johari mendedahkan menerima sebuah manuskrip buku bertajuk ‘Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM’.

Jelas Johari, beliau menerima manuskrip buku tersebut pada 10 Jun lalu daripada seorang penulis bernama Yahaya Ismail yang difahamkan olehnya merupakan seorang penulis upahan.

Menurut Johari, Yahaya turut menghubunginya dan memintanya berjumpa dengan Presiden PKR.
Artikel Berkaitan:


“Yahaya telah menghubungi saya untuk meminta saya berjumpa Anwar dan memaklumkan kepada Anwar bahawa dia telah siap buku ini dan ada pihak yang telah menawarkan kepadanya wang berjumlah RM400,000.

"Kalau Anwar tingkatkan sedikit jumlah wang tersebut, dia bersedia menyerahkan manuskrip tersebut kepada Anwar, maknanya ini ada elemen peras ugut," katanya.

Kemudian, Anwar ketika ditemui pemberita dalam Majlis Makan Malam Hari Raya anjuran Majlis Perniagaan Malaysia - India di Petaling Jaya mengesahkan beliau menerima ugutan dan diminta membayar RM400,000 sekiranya enggan buku ‘Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM’ diterbitkan dan didedahkan kepada umum.