Suhakam tanpa pesuruhjaya

A
A
A

SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia atau Suhakam pada masa ini tidak mempunyai Pengerusi dan Pesuruhjaya-pesuruhjaya.

Suhakam adalah badan berkanun yang diperbadankan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597).

Ahli-ahlinya yang dikenali sebagai pesuruhjaya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Perdana Menteri pula sebelum memberi nasihat tersebut perlu berunding dengan sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh akta tersebut.

Pesuruhjaya yang dilantik memegang jawatan selama tempoh tiga tahun dan boleh dilantik semula sekali lagi untuk tempoh yang sama. Mereka mestilah dilantik daripada latar belakang agama, politik dan bangsa yang pelbagai dan mempunyai pengalaman dalam hal-hal berkenaan dengan hak asasi manusia.

Pesuruhjaya-pesuruhjaya yang baru lepas telah tamat tempoh jawatan mereka pada akhir bulan April 2019. Daripada lapan mantan pesuruhjaya, enam boleh dilantik semula tetapi mantan Pengerusi, Tan Sri Razali Ismail telah memaklumkan bahawa beliau tidak mahu dilantik semula.

Suhakam pernah dikritik kerana tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pencabulan hak asasi manusia. Badan itu haya boleh menasihati dan mengesyorkan kepada kerajaan dan kerajaan juga tidak punya obligasi untuk menerima atau mempertimbangkan nasihat atau syor Suhakam.

Namun demikian, Suhakam mempunyai kuasa untuk membuat siasatan ke atas aduan pencabulan hak asasi manusia melalui suatu pendengaran awam. Kuasa itu amat berguna dan Suhakam telah membuat siasatan awam ke atas pencabulan hak asasi yang berlaku semasa perhimpunan besar seperti Bersih 2.0 dan 3.0, hak-hak tanah orang asal dan yang paling terbaru, kehilangan Pastor Raymond Koh dan individu lain.

Artikel Berkaitan:

Walaupun siasatan itu tidak selalunya diterjemahkan kepada tindakan yang memuaskan pada pihak kerajaan, siasatan tersebut sekurang-kurangnya membawa ke perhatian umum isu-isu berkenaan dengan hak asasi manusia.

Suhakam juga telah dipertanggungjawabkan untuk mengeluarkan laporan tahunan berkenaan aktiviti-aktiviti mereka setiap tahun. Laporan itu perlu dibentangkan di Parlimen dan walaupun ia dibuat setiap tahun tetapi Parlimen tidak pernah diberi masa untuk membahaskan laporan tersebut.

Adalah diharapkan bahawa tahun ini, kerajaan akan memberi masa untuk Parlimen membahaskan laporan tersebut, konsisten dengan Janji 24 dalam manifesto Pakatan Harapan.

Melihat kepada fungsi Suhakam sebagai pemantau dan penasihat kerajaan dalam isu-isu hak asasi manusia, adalah menghairankan mengapa Suhakam tidak mempunyai ahli selama hampir dua bulan. Kerajaan buat masa ini tidak memberikan apa-apa penjelasan mengapa kekosongan itu tidak diisi.

Dalam tempoh kekosongan itu, kita tidak mendapat manfaat nasihat dan pandangan Suhakam dalam beberapa isu hak asasi manusia yang timbul, seperti kes kematian orang asli di Kuala Koh, Kelantan.

Kerajaan telah berjanji untuk mendukung hak asasi manusia dalam Malaysia Baharu dan Suhakam mempunyai peranan yang penting.

Maka adalah penting supaya Suhakam menjalankan tanggungjawabnya dengan secepat mungkin mengikut mandat yang telah diamanahkan buat badan tersebut oleh Parlimen.Suhakam pernah dikritik kerana tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pencabulan hak asasi manusia."