Gelongsor air terpanjang dunia dibuka Ogos ini

Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pulau Pinang Yeoh Soon Hin (tiga, kanan) bersama Ketua Pegawai Escape, Sim Choo Kheng (kanan) melawat kawasan gelongsor air sepanjang 1,140 Meter di Taman Tema Escape Teluk Bahang hari ini. Gelongsor air tersebut dijangka beroperasi pada Ogos depan adalah gelongsor air terpanjang di dunia. - Foto Bernama
Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pulau Pinang Yeoh Soon Hin (tiga, kanan) bersama Ketua Pegawai Escape, Sim Choo Kheng (kanan) melawat kawasan gelongsor air sepanjang 1,140 Meter di Taman Tema Escape Teluk Bahang hari ini. Gelongsor air tersebut dijangka beroperasi pada Ogos depan adalah gelongsor air terpanjang di dunia. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Gelongsor air terpanjang di dunia sepanjang 1.140km di taman tema Escape Pulau Pinang di Teluk Bahang di sini akan dibuka kepada orang ramai pada Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sim Choo Kheng berkata, gelongsor dengan ketinggian 70 meter itu dijangka siap pada fasa ketiga 'Gravity Play’, hujung bulan depan dan akan mengatasi rekod dunia 0.602km milik taman tema Action Park di Vernon, New Jersey, Amerika Syarikat pada 2015.

"Gelongsor ini yang dibina di kawasan bukit menghubungkan taman permainan ‘Adventure Play’ dan ‘Water Play’ dan wakil daripada Guiness World Records akan hadir untuk meneliti kelengkapannya sebelum memberi pengiktirafan dunia.

“Cabaran terbesar dalam proses pembinaan adalah untuk mengelak menumbang pokok di sekeliling kawasan bukit bagi mengekalkan kehijauan alam sekitar di kawasan tersebut,” katanya ketika lawatan Exco Pembangunan, Warisan, Budaya dan Seni Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin ke taman tema berkenaan hari ini.

Menurutnya, pelaburan dalam fasa ketiga "Gravity Play" menelan kos sebanyak RM10.6 juta termasuk pembinaan satu laluan kereta kabel untuk membawa pengunjung ke puncak bukit.

"Kereta kabel terbabit akan menghubungkan antara kaki bukit hingga ke permulaan gelongsor air terpanjang itu dan kereta kabel berkenaan amat unik berikutan ia akan melalui kawasan hutan.

"Kita berharap Escape akan menjadi pusat tarikan pelancong dalam usaha memajukan industri pelancongan dan memberi banyak manfaat kepada semua golongan masyarakat di Teluk Bahang," katanya.

Setakat ini, Escape Pulau Pinang mempunyai lebih 40 tarikan utama termasuk meneroka terowong, memanjat pokok, 'flying fox' dan 'kite flyers' di 'Adventureplay dan Water Slide, 'lazy river', 'speed racer' dan 'waveball' di ‘Water Play’. - Bernama

Artikel Berkaitan: