Kedah pilihan namun Felda tetap mahu mencuba

Pertahanan Felda United mengeluarkan bola dari kawasan bahaya sebelum sampai kepada penyerang Kedah, Fernando Ortega (kiri). - Foto FB KFA
Pertahanan Felda United mengeluarkan bola dari kawasan bahaya sebelum sampai kepada penyerang Kedah, Fernando Ortega (kiri). - Foto FB KFA
A
A
A

FELDA United bersedia untuk menyukarkan Kedah pada aksi Separuh Akhir kedua Piala Fa 2019 apabila menerima kunjungan pasukan tersebut di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada Ahad depan.

Walaupun mengakui Lang Merah adalah calon pilihan untuk mara ke final musim ini, pengendali The Fighters, Nidzam Jamil berharap beliau mampu menurunkan kesebelasan utama terbaiknya pada perlawanan berkenaan.

"Saya akui akan gembira kalau kita ke perlawanan akhir, tetapi calon setakat ini masih lagi Kedah berdasarkan situasi semasa dan kekuatan pasukan tersebut.

"Felda United akan cuba untuk menyulitkan keadaan dan peluang Kedah malah pada waktu yang sama kami akan cuba juga untuk mara ke pentas akhir," katanya pada sidang media di Stadium Darul Aman, semalam.

Pada aksi separuh akhir pertama Piala FA, Kedah menang tipis 1-0 hasil jaringan penalti Fernando Ortega pada minit ke-69 apabila Renan Alves dijatuhkan pemain lawan di dalam kotak penalti pasukan pelawat.

Nidzam berkata, pada perlawanan tersebut pasukannya terpaksa turun secara bertahan selepas kehilangan ramai pemain utama dan sesekali melakukan serangan balas pantas memburu gol.

Jelasnya, beliau tetap memuji keputusan yang diraih oleh pasukannya walaupun tidak diperkuatkan dengan barisan tonggak kerana Lang Merah adalah sebuah pasukan yang serba lengkap di semua posisinya.

"Kami juga mengambil risiko dengan membariskan lima pertahanan selepas mereka sempat berlatih selama dua jam sahaja selepas tiada pilihan namun kami masih menaruh keyakinan mereka tetap mampu melakukannya.

Artikel Berkaitan:

"Kemampuan penjaga gol kami, Norazlan Razali juga berjaya menafikan banyak percubaan tepat pemain Kedah apabila beraksi dengan cemerlang," katanya.