Wanita UMNO digesa mantapkan ukhuwah

Wanita UMNO bergambar kenangan sempena Persidangan Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Sungai Petani 2019 di Hotel Zaques, Sungai Petani hari ini.
Wanita UMNO bergambar kenangan sempena Persidangan Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Sungai Petani 2019 di Hotel Zaques, Sungai Petani hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seramai kira-kira 1 juta keahlian Wanita UMNO Malaysia diingatkan agar memantapkan ikatan ukhuwah Melayu dan Islam bagi mengelakkan hubungan berkenaan dipecahkan pakatan luar.

Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Noriza Abd Rahim berkata, jawatankuasa khas yang dibentuk diharapkan dapat memantapkan ukhuwah yang terjalin terutama dalam ikatan bersama Wanita UMNO dan Dewan Muslimat Pas.

Menurutnya, jawatankuasa berkenaan juga sedang mengkaji dan menggariskan panduan agar gerak kerja dan hubungan UMNO-Pas lebih mantap dan tersusun.

"Kita wujudkan jawatankuasa atas kesedaran bahawa bimbang ada gerakan luar yang cuba memecahkan ikatan yang kita bina.

"Jadi tugasan jawatankuasa kena pastikan apa juga keputusan yang dibuat haruslah melalui musyawarah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Sungai Petani 2019 di Hotel Zaques, Sungai Petani hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff, Ketua Muslimat Pas Sungai Petani, Toiyibah Sulaiman dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Sungai Petani, Wan Mohalina Wan Mohamad.

Menurut Noriza, kehadiran beliau ke beberapa bahagian di seluruh negara sebelum ini membuktikan hubungan ikatan antara Wanita UMNO dan Muslimat Pas hampir terbentuk di semua peringkat.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, beliau juga mengingatkan agar masalah dalaman UMNO haruslah diselesaikan segera bagi memantapkan pergerakan UMNO dalam menghadapi PRU15.

"Saya mendengar intipati ucapan sahabat saya, Wan Mohalina dan adinda saya, Shahanim dan kedua-duanya adalah pemimpin wanita yang sangat hebat.

"Dalam berumahtangga pun lidah boleh tergigit, begitulah naluri seorang wanita cepat terasa... cemburu dan marah itu sebenarnya tanda sayang.

"Saya harap selepas ini boleh berdamai kerana saya yakin kemampuan kedua-duanya berjiwa besar, saya doakan Sungai Petani boleh dipimpin seelok-eloknya, yang dah lepas tu sudahlah, bina semangat baharu hala tuju baharu dan fokus ke depan," katanya.