X

Kindly register in order to view this article
!

Baiki jalan rosak elak kemalangan berulang

Rozano (kanan) berganding bahu bersama pekerjanya membaiki jalan rosak berdekatan kilang Venator Asia Sdn Bhd di Teluk Kalong hari ini.
A
A

KEMAMAN - Bagi mengelakkan kemalangan terus berlaku ekoran jalan yang rosak teruk, kilang Venator Asia Sdn Bhd di Kawasan Industri Teluk Kalong, di sini, mengambil inisiatif membaik pulih jalan di tepi dan berhadapan kilang mereka yang menelan kos sebanyak RM25,000 hari ini.

Kerja-kerja pembaikian berkenaan dilakukan secara gotong-royong oleh seramai 120 pekerja kilang Venator Asia Sdn Bhd diketuai Pengarah Tapaknya, Datuk Rozano Saad.

Kawasan yang dibaiki adalah di simpang tiga dari Jalan Pelabuhan Kemaman ke Jalan Lama Kijal membabitkan jarak dianggarkan sejauh kira-kira 250 meter kerana ia sangat membahayakan nyawa pengguna jalan raya terutama bagi motosikal, basikal dan kereta.

Rozano berkata, gara-gara jalan yang rosak teruk itu seorang pekerja kilangnya mengalami kecederaan apabila ditimpa kemalangan ketika melalui jalan berkenaan dengan menunggang motosilal dalam kejadian 18 Jun lalu.

"Sebab tidak mahu kemalangan itu berulang dan kerana bimbangkan keselamatan pengguna jalan raya ini kami ambil pendekatan baiki jalan ini.

"Usaha ini juga demi keselamatan pekerja kilang kami kerana ada yang bekerja syif malam dan pagi, kalau pekerja melalui jalan ini pada waktu malam ia lagi merbahaya jika kerosakan tidak segera dibaik pulih," katanya pada gotong-royong itu.

Jalan tersebut merupakan jalan keluar masuk utama dari pelabuhan ke kilang pengguna utama Taman Perindustrian Teluk Kalong dan tapak simpanan bahan galian untuk eksport seperti arang batu dan bijih besi.

Penggunaan yang tinggi oleh kenderaan berat menyebabkan simpang tiga keluar dan masuk dari Jalan Pelabuhan ke Jalan Lama Kijal itu mengalami kerosakan teruk.

Seramai 120 pekerja kilang Venator Asia Sdn Bhd bergotong-royong membaiki jalan bagi memastikan jalan di hadapan dan tepi kilang mereka selamat untuk dilalui pengguna jalan raya.
Seramai 120 pekerja kilang Venator Asia Sdn Bhd bergotong-royong membaiki jalan bagi memastikan jalan di hadapan dan tepi kilang mereka selamat untuk dilalui pengguna jalan raya.

Menurut Rozano, jalan itu telah beberapa kali dibaiki oleh pihaknya dengan menggunakan kos sendiri tetapi pembaikian itu tidak tahan lama kerana kadar penggunaan yang tinggi oleh kenderaan berat.

"Selain jalan rosak, turut berlaku tumpahan muatan arang batu dan biji besi yang dibawa lori yang melalui jalan ini dan situasi ini juga menimbulkan rasa tidak selamat dan tidak selesa pengguna jalan raya termasuk penunggang basikal yang sudah tidak melalui jalan ini untuk beriadah.

"Masalah jalan rosak ini juga sebenarnya sudah berlaku sejak 2015 lagi dan ia berlarutan hingga sekarang. Dari 2015 lagi ada kerja baik pulih dilakukan tapi ia tahan beberapa hari sahaja," katanya.

Katanya, sejak masalah itu berlaku pihaknya juga sudah acap kali membuat laporan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Kemaman dan pihak-pihak berkaitan serta memohon kebenaran JKR untuk membaik pulih kerosakan itu beberapa kali.

Sehubungan itu, Rozano berkata, pihaknya juga bercadang untuk mengadakan satu mesyuarat bersama pengguna jalan raya di kawasan itu bagi mewujudkan suasana kejiranan yang bertanggungjawab seterusnya menyelesaikan masalah berkenaan.

"Kami juga harap tahap kerjasama dengan pihak-pihak berkaitan dapat dipertingkatkan dan diperkemaskan lagi selepas ini agar sama-sama dapat mewujudkan suasana persekitaran yang selamat," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!