Kaji semula larangan parti politik guna dewan

Sham Mat Sahat
Sham Mat Sahat
A
A
A

BAGAN SERAI - UMNO Bahagian Bagan Serai menggesa Kerajaan Perak mengkaji semula arahan melarang mana-mana parti politik menggunakan kemudahan awam seperti dewan orang ramai untuk aktiviti kepartian.

Ketuanya, Datuk Sham Mat Sahat berkata, desakan itu akan dibangkitkan pihaknya dalam Sidang DUN Perak akan datang bagi memastikan semua parti termasuk parti pembangkang mendapat hak sewajarnya menjalankan aktiviti kepartian selagi mana ianya tidak menganggu gugat keamanan rakyat negeri ini.

Menurutnya, pihaknya akan menghantar permohonan menyewa premis Dewan Dato' Zainal Abidin, di sini bagi tujuan mengadakan mesyuarat perwakilan sayap parti pada 13 Julai dan UMNO bahagian pada 14 Julai hadapan terlebih dahulu.

"Namun sekiranya ditolak pengurusan Majlis Daerah Kerian (MDK), kita terpaksa mencari premis swasta untuk disewa dan senario sebegini tidak sewajarnya berlaku memandangkan mesyuarat parti perlu dilaksanakan mengikut perlembagaan Pertubuhan Pendaftar.

"Gesaan Kerajaan Perak mengkaji semula arahan larangan penggunaan kemudahan awam untuk program parti adalah kerana semua orang ada parti dan perlu menggunakan premis disewa untuk program kepartian.

"Arahan terbaharu kerajaan PH sebenarnya menyebabkan semua parti terhalang daripada menggunakan kemudahan awam dan ianya tidak baik untuk amalan demokrasi negara ini," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Sham berkata, sewaktu pentadbiran kerajaan BN sebelum ini, kemudahan awam seperti dewan orang ramai dibenarkan untuk mana-mana parti politik bermesyuarat asalkan sewa premis dibayar.

Menurutnya, pihaknya melihat kerajaan PH ketika ini seolah-olah terdesak untuk menekan parti pembangkang terutama UMNO daripada terus menggerakkan program mendekati rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya arahan terbaharu kerajaan PH ini bukan politik matang, tetapi budaya politik terkebelakang.

"Saya fikir PH terutama DAP sanggup menggunakan apa jua cara untuk menyekat kemaraan UMNO dan Pas dalam mendekati dan mendengar suara hati rakyat, termasuklah larangan menggunakan apa jua kemudahan awam.

"Sekiranya hanya program kepartian sahaja dihalang daripada menggunakan kemudahan awam, mengapa bila kami menganjurkan ceramah agama pun dihalang guna dewan?

"Saya harap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan jawab masa sidang DUN," katanya.