Kapal nelayan dilupuskan jadi tukun tiruan

No Image Caption
A
A
A

KUDAT - Sebuah kapal nelayan yang dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dilupuskan hari ini untuk dijadikan sebagai tukun tiruan di perairan Kampung Tajau Laut, dekat sini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong berkata, ia adalah kali pertama kerajaan Sabah melakukan pelupusan kapal seumpama itu, kerana sebelum ini kapal yang dirampas kerana disabitkan di bawah pelbagai kesalahan akan dilelong.

"Kapal yang ditenggelamkan ini adalah sebuah kapal nelayan asing yang sebelum ini ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 34 Akta Perikanan 1985 dan telah dilucutkan hak oleh Mahkamah Kota Kinabalu,” katanya kepada pemberita selepas proses penenggelaman kapal berkenaan.

Beliau berkata, pelupusan kapal itu menunjukkan bahawa kerajaan Sabah memandang serius terhadap pencerobohan perairan negara terutamanya yang melibatkan eksploitasi sumber marin Sabah.

“Oleh itu saya memberi amaran keras kepada nelayan asing yang menceroboh dan mencuri sumber perikanan marin di perairan Sabah serta mengharapkan agar pemusnahan kapal ini menjadi iktibar kepada nelayan asing, khususya nelayan asing Vietnam.

“Kapal nelayan asing Vietnam ini dilupuskan secara musnah tenggelam dan dijadikan sebagai tukun tiruan agar komuniti nelayan di Kampung Tajau Laut dan sekitarnya mendapat manfaat,” katanya.

Junz berkata, antara manfaat tukun tiruan adalah membantu meningkatkan tangkapan ikan dan meningkatkan pendapatan nelayan tradisional kerana sumber ikan yang mapan serta berterusan, selain menghalang pencerobohan kapal pukat tunda di kawasan pesisiran pantai.

“Ia juga akan menambah dan menjadi habitat serta kawasan pembiakan ikan di kawasan pesisir pantai, membantu memulihkan dan mengayakan sumber perikanan pesisiran pantai yang kian merosot,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama, beliau berkata dua lagi kapal yang telah dirampas oleh APMM bakal dilupuskan menggunakan kaedah sama di Tuaran.-Bernama