Laporan polis dibuat terhadap kenyataan Salamiah

Terence (empat dari kanan) bergambar bersama individu yang hadir ke IPD Hilir Perak membuat laporan polis terhadap Salamiah.
Terence (empat dari kanan) bergambar bersama individu yang hadir ke IPD Hilir Perak membuat laporan polis terhadap Salamiah.
A
A
A

TELUK INTAN - Desakan wakil Dewan Muslimat Pas, Salamiah Md Nor agar Menteri Pendidikan menghapuskan sekolah vernakular dilihat melanggar Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Adun Pasir Bedamar yang juga seorang peguam, Terence Naidu berkata, kesalahan berkenaan juga terkandung dalam Akta Hasutan 1948 yang mana perbuatan menghasut adalah satu kesalahan.

"Seruan Salamiah untuk Menteri Pendidikan menghentikan pendidikan venakular ini mungkin melanggar peruntukan 152 dan saya tidak tahu sama ada beliau tahu bahawa perbuatan melanggar Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan juga terkandung dalam Akta Hasutan 1948.

"Di dalam akta itu perbuatan menghasut adalah suatu kesalahan yang boleh membawa kepada denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama," katanya selepas hadir bersama wakil penduduk membuat laporan polis terhadap Salamiah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini hari ini.

Menurut Terence, walaupun Akta Hasutan mempunyai pengecualian kepada Seksyen 3(1)(f), dia berharap agar semua pihak tidak kira Salamiah atau mana-mana pihak supaya lebih sensitif menjaga keharmonian kaum.

"Saya berharap semua pihak juga lebih cermat dalam mengeluarkan kenyataan supaya mereka tidak membawa kepada rasa marah sesetengah pihak sehingga membawa kepada laporan polis," katanya.

Sementara itu, bapa kepada salah seorang pelajar yang belajar di salah sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Teluk Intan, K. Marimuthu melahirkan rasa kecewa dan terkilan dengan kenyataan Salamiah.

"Kedua-dua anak saya bersekolah di SJKT dan saya menegaskan bahawa mereka tidak mempunyai persepsi negatif terhadap mana-mana kaum lain.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak melihat bagaimana dengan hanya hadir sekolah Tamil, isu kaum berupaya memberi jurang yang besar antara kaum lain sedangkan kita sudah hidup harmoni sekian lama," katanya.

Marimuthu merupakan antara 10 individu yang tampil ke IPD Hilir Perak hari ini bagi membuat laporan polis berkenaan kenyataan Salamiah.