Zon merah Kuala Koh masih kekal

Hasanuddin (kiri) turut menyampaikan sumbangan duit raya, bersama Suzaimi (kanan) dalam majlis sambutan Aidilfitri di IPD Tanah Merah di sini hari ini.
Hasanuddin (kiri) turut menyampaikan sumbangan duit raya, bersama Suzaimi (kanan) dalam majlis sambutan Aidilfitri di IPD Tanah Merah di sini hari ini.
A
A
A

TANAH MERAH - Zon Merah di Felda Aril 10, Kuala Koh, masih dikekalkan meskipun mayat 15 orang asli Suku Bateq telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung terbabit di sini pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya masih menunggu arahan lanjut untuk tindakan susulan.

"Setakat ini kawasan berkenaan masih dikawal dan pusat operasi juga masih dibuka.

"Anggota polis akan terus berada di kawasan berkenaan sehinggalah dimaklumkan selamat oleh Kementerian Kesihatan (KKM),"katanya.

Beliau ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Tanah Merah di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kassim dan Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad.

Terdahulu, mayat 15 jenazah orang asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh Lebir di sini, selamat dikebumikan pagi tadi.

Kesemua jenazah dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Gua Musang (HGM) pada jam 8 pagi untuk urusan solat jenazah di Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra sebelum disemadikan dalam satu liang lahad.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes terdahulu, 15 orang asli Kampung Kuala Koh, meninggal dunia seorang demi seorang sejak awal Mei lalu dan disahkan berpunca dari wabak measles atau demam campak.

KKM mengesahkan orang asli berkenaan, dijangkiti wabak itu, dengan jumlah kes yang direkodkan sehingga 17 Jun lalu, meningkat kepada 113 kes. Kes yang masih berada di dalam wad berjumlah 52 kes iaitu 49 di wad biasa dan tiga di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai.

Seramai 20 orang asli didapati sembuh daripada penyakit berkenaan dan ditempatkan di Rumah Inap Orang Asli (Rika) di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani Gua Musang.