DAP Perak anggap Pas tidak tahu sejarah

Dr Abdul Aziz (berdiri) melayan dua rakan Exconya, Paul Yong (kiri) dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang hadir ke majlis berkenaan hari ini.
Dr Abdul Aziz (berdiri) melayan dua rakan Exconya, Paul Yong (kiri) dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang hadir ke majlis berkenaan hari ini.
A
A
A

IPOH - DAP Perak membidas tindakan perwakilan Muslimat Pas yang mencadangkan sekolah vernakular di negara ini ditamatkan ketika Muktamar Tahunan Pas ke-65, semalam.

Naib Pengerusinya, Dr Abdul Aziz Bari berkata, cadangan tersebut bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan penubuhan sekolah vernakular.

Menurutnya, kewujudan sekolah vernakular seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK) sejak lebih 60 tahun lalu dan tidak masuk akal untuk memansuhkan sekolah seperti itu.

"Pas sebagai sebuah parti yang bercita-cita mahu memerintah negara tidak sesuai mengemukakan cadangan seperti itu. Cadangan seperti itu menampakkan kejahilan selain menunjukkan sikap ekstrem ataupun pemikiran kanan dalam Pas itu sendiri yang saya fikir tidak sesuai dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

"Cadangan itu bukan sahaja bersifat rasis tetapi merugikan generasi muda yang berpeluang belajar bahasa Mandarin dan Tamil. Malah ada sekolah-sekolah Cina yang majoritinya pelajarnya orang-orang Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan perwakilan Muslimat Pas yang mencadangkan Kementerian Pendidikan menamatkan sistem pendidikan vernakular yang dilihat tidak membawa kepada perpaduan rakyat di negara ini ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak di Dewan Bankuasi Carsem, Taman Maju Rapat di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, faktor ketidakseimbangan ekonomi antara kaum di negara ini dirasakan penghalang kepada perpaduan nasional dan bukan disebabkan faktor bahasa.

Dalam pada itu, beliau menggesa rakan kerjasama Pas seperti UMNO dan MIC tampil mengemukakan pendirian terhadap kenyataan parti Islam itu.

Artikel Berkaitan:

"DAP Perak menolak sekeras-kerasnya cadangan seperti itu yang jelas bertentangan dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan," katanya.