Jangan panik, bekalan telur ayam cukup

telur
telur
A
A
A

NIBONG TEBAL- Orang ramai dinasihatkan agar tidak panik dengan bekalan telur ayam kerana ia dijamin mencukupi sehingga tahun hadapan selain harga yang stabil.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, walaupun pengeluaran barang keperluan itu menurun sejak 2016, namun bekalan telur ayam mampu menampung permintaan pengguna untuk dua perayaan iaitu Krismas dan Tahun Baru Cina yang akan datang.

Menurutnya, kementerian berusaha untuk menstabilkan harga telur ayam berikutan permintaan dilihat semakin meningkat namun tahap pengeluaran menurun sehingga 70 peratus.

"Setelah berjumpa dengan lebih 300 pengusaha seluruh negara dan 20 di Pulau Pinang, kita mendapati masalah telur ayam ini berpunca dari kadar pengeluaran yang semakin menurun. Ia bukan baharu kerana berlaku sejak 2016 lagi dan di Pulau Pinang dari 95 ladang kini berkurangan kepada 79 ladang pada tahun ini.

"Penutupan ladang-ladang kecil ini memberi impak yang besar kepada pengeluaran kerana permintaan meningkat tetapi pengeluaran menurun. Tambahan pula, baru-baru ini, sebuah ladang besar di Perak diarahkan menghentikan operasi kerana disyaki dijangkiti penyakit.

"Ini menambahkan lagi masalah pengurangan telur ayam di pasaran dan menyebabkan peningkatkan harga seperti yang dibangkitkan sebelum ini. Oleh itu, dengan rasa tanggungjawab, kementerian mengambil langkah untuk campur tangan bagi menstabilkan harga barang keperluan ini," katanya kepada media.

Tze Tzin berkata demikian selepas melawat sebuah ladang penternakan ayam di Kampung Changkat Daim di sini, tadi.

Jelasnya, bekalan dan harga telur ayam dijangka akan kembali pulih minggu ini setelah ladang besar di Perak yang diarahkan memberhentikan sementara operasi dibenarkan untuk beroperasi semula.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan bertanggungjawab untuk menstabilkan harga dengan memanggil pengusaha ke Putrajaya. Kerajaan berharap agar pengguna memahami masalah pengusaha yang perlu berdepan dengan beberapa masalah iaitu kenaikan kos makanan ayam dan peningkatan jumlah ayam yang mati kerana perubahan cuaca.

"Sebagai peniaga, pengusaha perlu sedikit untung dalam perniagaan mereka namun dalam masa yang sama, kerajaan tidak mahu harga telur ayam naik melambung. Sebab itu, kerajaan berperanan untuk menstabilkan harga agar tidak membebankan kedua-dua pihak (pengguna dan pengeluar).

"Jika pengusaha tidak untung, mereka akan menutup perniagaan dan menyebabkan bekalan kurang. Apabila bekalan terlalu kurang, harga akan melambung dan itu lagi teruk. Ini yang kerajaan tidak mahu (berlaku)," katanya.

Tze Tzin berkata, Malaysia mempunyai telur ayam yang mencukupi iaitu pada kadar kecukupan (SSL) sekitar 113 peratus pada tahun ini.

"Buat masa ini, kita tidak bercadang untuk mengimport kerana SSL di peringkat nasional telah mencapai 113 peratus. Malah kita yang mengeksport 10 hingga 15 peratus ke beberapa negara iaitu Hong Kong, Dubai, Maldives dan Singapura.

"Malaysia antara negara tertinggi dengan 30 hingga 34 juta pengguna yang memakan telur dalam sehari, iaitu 400 biji seorang dalam tempoh setahun," katanya.