Percaturan Yati menjadi melalui 'Flourworks'

Yati bersama kek yang mendapat sentuhan air tangannya yang kini menjadi buruan peminat kek.
Yati bersama kek yang mendapat sentuhan air tangannya yang kini menjadi buruan peminat kek.
A
A
A

DEMI mahu melihat anak membesar di depan mata, Nor hidayati Mohd Kamal, 34, atau mesra disapa Yati sanggup meninggalkan kerjaya dalam dunia perbankan.

Ibu beranak dua itu kemudian memberanikan diri menceburi bidang kek dan pastri selepas berhenti kerja pada tahun 2014.

Bagaimanapun, bekas Eksekutif Kewangan di Bank Simpanan Nasional itu tidak menyangka sama sekali apabila langkah itu benar-benar mengubah kehidupannya.

"Asalnya, sekadar suka-suka. Kini, ia menjadi pendapatan tetap buat saya. Alhamdulillah, hasil yang diperoleh agak lumayan," katanya kepada Dapur Femina baru-baru ini.

Menceritakan semula pembabitannya dalam dunia pembuatan kek dan pastri, wanita yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu berkata, ketika berpantang selepas melahirkan anak sulung, beliau membuat satu keputusan nekad untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dunia perbankan.

"Ya, saya nekad berhenti kerana mahu membesarkan anak dengan tangan sendiri. Sebelum ini saya membesar tanpa ibu dan bapa selepas pemergian mereka ketika usia saya 19 tahun.

"Jadi, kalau boleh saya mahu anak kecil ini mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada saya," ujarnya.

Yati memberitahu Dapur Femina bahawa beliau bertuah kerana suaminya menyokong setiap keputusan yang dibuatnya sambil memintanya agar tidak menyesal dengan keputusannya yang telah direncanakan

Artikel Berkaitan:

Beliau kreatif menghasilkan kek yang bermutu.
Beliau kreatif menghasilkan kek yang bermutu.

Sentimental kek coklat

Bercerita tentang dunia yang diceburinya sejak lima tahun lalu, Yati sangat teruja untuk berbicara. Yati berkata, sebenarnya sebelum ini beliau tidak pernah menghasilkan sebarang kek meskipun kek coklat yang menjadi dambaannya sejak kecil.

"Ketika saya mula membuat kek, saudara-mara dan rakan-rakan menjadi testimoni saya. Selepas menerima maklum balas yang positif, saya membuat keputusan untuk bergiat serius dalam bisnes ini.

"Saya kemudiannya menghadiri kelas belajar membuat kek dan pastri termasuk mengikuti kelas secara atas talian bagi menambah ilmu dan mempelajari selok-belok menghasilkan produk yang bermutu," katanya.

Kira-kira setahun selepas itu dan diri mula berasa yakin, beliau mula mengambil tempahan kek daripada rakan-rakan.

Pada masa sama, wanita itu membuat penambahbaikan resepi mengikut cita rasanya agar bersesuaian dengan permintaan pasaran.

Melalui jenama Flourworks, kek dan pastri beliau semakin diterima dan semakin dikenali ramai bukan sahaja di Lembah Klang bahkan juga di negeri-negeri lain.

"Selain kek coklat, saya turut hasilkan kek mentega, marble, brownies, kek kukus buah, kek cawan, whoopie pie, krim puff, kek hari jadi, kek untuk perkahwinan dan sebagainya.

"Berkenaan harga pula, ia mampu milik. Ia juga bergantung kepada jenis kek dan corak-corak yang diminta pelanggan," ujarnya.

Kek cawan coklat.
Kek cawan coklat.



Antara kek yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.
Antara kek yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.



Suami dan anak-anak menjadi pendorong kuat untuk Yati berjaya.
Suami dan anak-anak menjadi pendorong kuat untuk Yati berjaya.

Dugaan

Tatkala ditanya berkenaan cabaran ketika mengharungi bisnes baharu itu, pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi dari Universiti Teknologi Malaysia Skudai, Johor itu memberitahu, memang ada dugaan dan halangannya tersendiri.

"Dalam dunia pembuatan bakeri dan pastri, memang memerlukan kesabaran dan kegigihan yang tinggi. Bagi menyiapkan sebiji kek, saya terpaksa ambil masa empat hingga lima jam.

"Itu termasuklah membuat dekorasi dari segi corak, mainan warna dan ukirannya. Ya, banyak proses yang perlu dilalui bagi menyiapkan sebiji kek," ujarnya.

Sambil tersenyum Yati turut berkongsi kenangan pahit yang sehingga kini masih berbekam dalam fikirannya. Keknya pernah terjatuh selang beberapa jam sebelum diserahkan kepada pelanggan!

"Ketika itu, perasaan saya bercampur-baur, nak tak nak saya terpaksa siapkan semula kek itu kerana tidak mahu menghampakan pelanggan," ujarnya.

Katanya lagi, waktu tengah malam menjadi durasi masa yang paling sesuai untuknya menyiapkan tempahan.

"Bukan apa, tidak mahu ada gangguan anak-anak yang masih kecil kerana mereka teruja kalau melihat dekorasi kek yang cantik-cantik," kata wanita yang sedang hamil lima bulan itu.

Mengenai perancangan masa depan, Yati berterus-terang yang beliau mempunyai hasrat mahu membuka sebuah kedai berasaskan bakeri dan pastri suatu masa nanti.

"Angan-angan dan impian itu ada, namun bukan sekarang. Banyak perkara yang saya perlu tumpukan terlebih dahulu.

"Pun begitu, bagi mengukuhkan jenama Flourworks, saya turut mempromosikan air tangan saya dengan menyertai acara-acara keraian termasuk menghantarnya di kafe-kafe yang menjadi tumpuan ramai," katanya.

Kek perkahwinan.
Kek perkahwinan.



Kek hari jadi.
Kek hari jadi.