Rancangan Pertanian Johor Barat diaktifkan

Tosrin (tiga dari kiri) menyerahkan hadiah pertandingan memancing kepada pemenang pada Program Reformasi Peladang Daerah Kluang 2019 di Kluang.
Tosrin (tiga dari kiri) menyerahkan hadiah pertandingan memancing kepada pemenang pada Program Reformasi Peladang Daerah Kluang 2019 di Kluang.
A
A
A
KLUANG - Kerajaan Negeri Johor akan memberi nafas baharu dan mengaktifkan semula Rancangan Pertanian Johor Barat melibatkan daerah Johor Bahru, Pontian, Kluang, Batu Pahat dan Muar yang dilihat semakin dilupakan dan kurang diberi perhatian sejak 30 tahun lalu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, beliau juga akan membawakan isu berkaitan Rancangan Pertanian Johor Barat ini di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan datang agar dapat diberi perhatian.

"Dahulu Rancangan Pertanian Johor Barat ini memang cukup gah di negeri ini, tetapi setelah hampir 30 tahun, rancangan ini sudah mula ketinggalan dan tidak menepati ciri-ciri asalnya dan memang ada beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh kerajaan negeri.

"Antaranya adalah sistem pengairan dan saliran ke kawasan-kawasan pertanian terutamanya di kawasan luar bandar kerana sistem yang ada dahulu sudah tidak menepati kehendak-kehendak ciri pertanian moden yang ada sekarang ini," katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas merasmikan Program Reformasi Peladang Daerah Kluang 2019 di Persiaran Datuk Haji Ismail Hassan, di sini, petang semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Aliman; Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Mohd Said Jonit; Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ), Abdul Jalil Bukhairah dan Ahli Lembaga Pengarah PPNJ, Datuk Ali Shikh Ahmad.

Menurutnya, semasa beliau melakukan lawatan ke Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor, baru-baru ini, beliau mendapati Rancangan Pertanian Johor Barat ini memerlukan satu kaedah dan cara baharu oleh kerajaan negeri agar kelangsungan petani di kawasan terlibat dapat diteruskan semula.

Katanya, kawasan pertanian rancangan ini juga cukup luas kerana melibatkan sebahagian daerah Johor Bahru terutamanya kawasan Gelang Patah, keseluruhan daerah Pontian dan sebahagian kawasan daerah Kluang, Batu Pahat serta Muar dan satu kerugian sekiranya rancangan ini tidak diteruskan semula.

Pada masa sama, dalam usaha untuk memperkenalkan semula tanaman lada hitam yang pernah popular di negeri ini pada satu ketika dahulu, beliau akan melakukan lawatan ke Lembaga Lada Malaysia (MPB) di Sarawak bagi melihat teknologi yang digunakan bagi menjadikan tanaman tersebut sebagai tanaman sampingan.
Artikel Berkaitan:


"Rancangan tanaman sampingan lada hitam ini akan dilakukan di semua kawasan tanah rancangan Felda, Felcra dan Risda seperti yang telah dirancang dalam gerakan Revolusi Hijau bagi menjadikan lada hitam ini sebafai salah satu sumber pendapatan baharu bagi peladang-peladang di negeri ini.

"Selain itu, dalam satu perjumpaan saya bersama pengurus-pengurus Felda di negeri ini, saya telah mencadangkan agar tanah-tanah peneroka yang terlibat dengan tanam semula sawit akan diseling dengan tanaman nenas MD2 sebagai tanaman integrasi bermula pada bulan Julai ini," katanya.