Jangan tunggu PBT bersihkan rumah untuk cegah denggi

Vidyananthan (kanan) melihat longgokan sampah yang dikhuatiri menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes di Taman Sri Lambak, Kluang semalam.
Vidyananthan (kanan) melihat longgokan sampah yang dikhuatiri menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes di Taman Sri Lambak, Kluang semalam.
A
A
A

KLUANG – Penduduk di Taman Sri Lambak dinasihatkan supaya tidak mengharapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membersihkan kawasan persekitaran rumah mereka bagi mencegah penyebaran wabak denggi.

ADUN Kahang, R Vidyananthan berkata, mereka perlu sama-sama mengambil tanggungjawab tersebut kerana persekitaran rumah adalah tanggungjawab pemiliknya.

“Usaha membanteras denggi adalah tanggungjawab semua pihak termasuk ahli masyarakat tanpa mengira usia dan kaum asalkan mempunyai kesedaran terhadap bahaya yang dibawa wabak denggi.

“Saya nasihatkan penduduk di sini meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap hari membersihkan kawasan rumah mereka bagi mencegah pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Gotong Royong Hapuskan Aedes Peringkat Parlimen Sembrong di Taman Sri Lambak di sini semalam.

Program yang disertai kira-kira 200 penduduk di Taman Sri Lambak itu turut dihadiri oleh Pegawai Perubatan (Unit Vektor) Pejabat Kesihatan Daerah Kluang, Dr Zulfikrie Abas.

Menurutnya, kegagalan penduduk membersihkan persekitaran rumah menjadi punca utama kepada pembiakan aedes, sekali gus menyebabkan penyebaran demam denggi.

Beliau berkata, tahap kesedaran terhadap bahaya denggi dalam masyarakat seharusnya dipergiatkan lagi di samping meneruskan program gotong-royong bagi memastikan persekitaran kediaman mereka bebas denggi.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak sepatutnya menjadi penyumbang kepada penularan wabak denggi akibat sikap tidak ambil peduli kerana meletakkan tanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran kepada pihak tertentu sahaja.

“Kita harus memainkan peranan serta menyumbang kepada aktiviti yang bermanfaat seperti membanteras wabak tersebut supaya keselamatan dan kesihatan kita sentiasa terjamin," katanya.

Terdahulu, Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, sejak kawasan Taman Sri Lambak diisytiharkan sebagai tumpuan wabak bermula 11 Mei lalu, sebanyak 62 kes dan dua kematian telah dicatatkan.

Katanya, kematian pertama melibatkan seorang guru lelaki pada 9 Jun lalu dan kes kematian kedua pada 14 Jun lalu.