Fatwa sah di sisi perlembagaan

A
A
A

PELBAGAI pihak sering lantang mempertikaikan keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ataupun Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri. Malah hasrat Majlis Fatwa tersebut untuk membuat fatwa tertentu juga sering diperlekehkan. Malah apabila fatwa telah dikeluarkan juga ia dicabar.

Sebagai contoh beberapa tahun lepas apabila Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan membuat ketetapan apabila pengumuman mengenai hukum senaman yoga pelbagai kalangan mencemuh keputusan sedemikian.

Pelbagai pihak termasuk institusi, orang perseorangan sama ada Islam ataupun bukan Islam telah memperkatakan tentang tindakan itu.

Tindakan itu sebenarnya adalah kesinambungan usaha menjatuhkan kredibiliti Majlis Fatwa dan institusi Islam yang lain walaupun setelah Mahkamah Persekutuan membuat penghakiman bahawa institusi fatwa adalah sah di sisi Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini di dalam kes Sulaiman Takrib melawan Kerajaan Negeri Terengganu dan Kahar Ahmad melawan Kerajaan Negeri Selangor dan dua lagi.

Keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi dalam negara ini telah menjelaskan kedudukan fatwa di Malaysia dan tidak perlu dipertikaikan lagi selepas itu.

Bagi orang bukan Islam, hormatilah institusi agama Islam kerana ia adalah badan yang sah di sisi undang-undang. Institusi Fatwa bukanlah ditubuhkan setelah merdeka tetapi telah lama wujud walaupun sebelum zaman penjajahan lagi dan selama ini fatwa telah berjaya memberi panduan kepada orang Islam mengamalkan agama mereka. Orang bukan Islam tiada hak mempersoalkan perkara dalaman agama Islam ini. Apatah lagi Islam adalah agama Persekutuan dan diberikan kedudukan yang istimewa dalam Perlembagaan.

Orang yang tidak berkelayakan dalam bidang agama tidak harus mempertikaikan fatwa.

Dalam isu yoga dahulu, mungkin sebagai pengikut yoga mereka mengatakan ia hanyalah suatu senaman dan tidak lebih daripada itu. Tetapi tahukah kita apakah makna mantera yang dibacakan itu. Adakah suatu jaminan mantera tersebut tidak menyekutukan ALLAH? Ada pula yang mengatakan mereka tidak membaca mantera tetapi hanyalah melakukan senaman sahaja. Dalam keadaan ini pun kita perlu sedar adakah perbuatan kita itu adalah suatu manifestasi kepada penafian ketauhidan kepada ALLAH SWT? Inilah yang dikaji oleh

Jawatankuasa Fatwa dan biarkanlah fatwa itu dibuat mengikut keilmuan para ulama.

Artikel Berkaitan:

Apakah perkara lain yang lebih mustahak lagi berbanding dengan perkara yang menyentuh akidah orang Islam. Sekiranya senaman yoga itu adalah haram di sisi Islam kerana mensyirikkan ALLAH SWT maka betapa baik pun amalan seseorang itu, ia sudah pasti tidak akan diterima ALLAH SWT. Hal yang sedemikian memberi implikasi amat besar kepada orang Islam.

Dalam membuat sesuatu fatwa, Jawatankuasa Fatwa membuat kajian terperinci terlebih dahulu. Suatu kertas cadangan dibuat dan di kaji oleh tokoh agama dan golongan profesional seringkali dipanggil untuk membantu Jawatankuasa Fatwa mengeluarkan fatwa.

Dalam masa sama, persoalan yang ditimbulkan itu seolah-olah menggambarkan Majlis Fatwa hanya membuat ketetapan mengenai hal yang remeh sahaja. Buatlah kajian terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu kenyataan.

Sebenarnya Majlis Fatwa telah membuat pelbagai ketetapan yang merangkumi aspek perubatan, sosial, kesihatan, ekonomi dan juga pentadbiran. Ini jelas menunjukkan Majlis Fatwa telah menjalankan amanahnya dengan baik dan membincangkan permasalahan yang dihadapi orang Islam. Dalam banyak keadaan juga pakar-pakar dipanggil untuk membantu Majlis Fatwa memberikan fatwa yang tepat.

Selama ini Majlis Fatwa telah berjaya menyelesaikan banyak permasalahan umat Islam di Malaysia. Memang tidak dinafikan terdapat perubahan fatwa dalam beberapa perkara yang telah diputuskan, tetapi ia bukanlah menunjukkan kejelikan anggota Majlis Fatwa berkenaan. Ia lebih merupakan manifestasi bahawa syariat Islam itu sesuai sepanjang zaman dan boleh disesuaikan mengikut keadaan semasa tanpa menggadaikan perkara-perkara asas yang telah disepakati.

Sebenarnya fatwa sahaja tidak menjamin kesejahteraan umat. Seluruh jentera pentadbiran kerajaan perlu memadu usaha memastikan sesuatu fatwa itu diikuti sama ada melalui pendidikan, pelaksanaan dan juga penguatkuasaan.Bagi orang bukan Islam, hormatilah institusi agama Islam kerana ia adalah badan yang sah di sisi undang-undang."

*Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)