Henti konspirasi, kukuhkan ekonomi

A
A
A

SAYA yakin kebanyakan orang kita tahu tentang ekonomi walaupun tidak secara mendalam kerana di mana pun kita pergi sekarang, orang mengeluh mengenai ekonomi.

Macam telah saya katakan berulang kali, ekonomi sebenarnya sangat asas dan mudah. Ia adalah gabungan dua perkataan Greek yang lebih kurang bermaksud pengurusan rumah tangga. Memang tepat.

Bagi kebanyakan orang itulah yang diharapkan daripada ekonomi iaitu mengurus dan menjaga kebajikan rumah tangga serta keluarga. Sebab itu jugalah apabila keadaan ekonomi baik orang ramai berasa gembira dan sejahtera tetapi sebaliknya apabila ekonomi bermasalah mereka berasa dukacita. Walaupun pengertian ekonomi mudah dan boleh difahami semua orang, tetapi menjana dan menguruskan ekonomi adalah sukar apatah lagi dalam keadaan di mana ia melibatkan seluruh dunia.

Pelbagai aspek penghasilan, pengedaran, penggunaan, percukaian dan turun naik mata wang perlu diambil kira. Kita semua tahun yang cukai dan kadar tukaran mata wang akan menjejaskan kos pengeluaran dan harga barang serta perkhidmatan.

Sebab itulah kita kena beri perhatian dan cuba memahami herdikan ahli ekonomi terkemuka, Dr Jomo Kwame Sundaram apabila beliau berkata, kita perlu berhenti berbalah dan menumpukan perhatian kepada menyelamatkan ekonomi negara.

Dalam bahasa ekonomi, negara kita dikira kukuh kerana asas ekonomi kita baik, keyakinan pengguna tinggi dan pemodal terus melabur. Malah asas ekonomi kita menjadi lebih kukuh sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih setahun lalu kerana ia telah melakukan banyak reformasi sistem pentadbiran bagi membasmi rasuah dan mengukuhkan kewangan negara.

Di peringkat paling rendah yang menyentuh kehidupan harian rakyat jelata - misalnya bekalan dan harga barang runcit telah menjadi lebih baik. Tetapi di peringkat tinggi, bukan kita saja mengalami masalah dan ancaman malah seluruh dunia. Punca utamanya ialah perang dagang di antara Amerika Syarikat dan China yang dimulakan oleh Presiden Donald Trump.

Trump menuduh China memberi subsidi kepada industrinya yang dengan itu membolehkan mereka mengeksport dengan harga yang murah ke Amerika.

Trump membalas dengan menaikkan cukai ke atas barang-barang import dari China khususnya barang-barang elektronik dan menuduh China menggunakan teknologi elektronik untuk mengintip Amerika.

Negara kita terseret secara langsung dan tidak langsung kerana kita mengeluarkan banyak komponen yang digunakan dalam pembuatan produk elektronik oleh China. Ironinya, yang banyak mengeluarkan barangan elektronik di China untuk pasaran Amerika dan antarabangsa bukan saja syarikat China seperti Huawei tetapi pengeluar yang lebih besar adalah syarikat Amerika sendiri seperti Apple.

Artikel Berkaitan:


Pulihara

Banyak lagi isu dan perbalahan dalam perdagangan antarabangsa yang semuanya memberi kesan baik dan buruk kepada negara kita. Kita ambil contoh minyak mentah.

Kita bukan anggota Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) kerana pengeluaran kita tidak cukup besar. Kita hanya menjadi pemerhati.

Tetapi apa juga keputusan OPEC akan menjejas ekonomi negara kita kerana industri petroleum memainkan peranan besar menjana kegiatan ekonomi dan hasil kerajaan. Kemudian kita juga berdepan dengan sekatan perdagangan yang tidak berbentuk ekonomi tetapi berdasarkan kepada politik seperti gerakan antisubsidi, pembalakan dan minyak kelapa sawit.

Inilah yang berlaku dengan pemulauan minyak kelapa sawit oleh Kesatuan Eropah (EU). Mereka menuduh penanaman kelapa sawit memusnahkan flora (tumbuh-tumbuhan) dan fauna (disebut fona – hidup-hidupan). Maka tidak hairanlah setiap kali tersiar berita seekor gajah, orang utan atau badak sumbu mati di negara kita atau di mana-mana pun negara pengeluar minyak kelapa sawit, penentangan terhadap bahan tersebut meningkat.

Kerajaan PH wajib mengambil tindakan paling tegas ke atas pemilik ladang dan pembalak yang menyebabkan kemusnahan flora dan fauna. Kesimpulannya, kita wajib menumpukan perhatian kepada usaha memulihkan dan memperkukuhkan ekonomi bagi menyediakan diri menghadapi suasana ekonomi dunia yang semakin mencabar.

Kurangkan atau hentikan terus konspirasi dan kerja-kerja yang tidak memanfaatkan negara apatah lagi yang mengaibkan kita semua. Wallahuaklam.