Tak perlu panjangkan isu video: Nik Nazmi

Nik Nazmi (tengah) bergambar bersama jawatankuasa penduduk Seksyen 10 Wangsa Maju yang menganjurkan jamuan Aidilfitri hari ini.
Nik Nazmi (tengah) bergambar bersama jawatankuasa penduduk Seksyen 10 Wangsa Maju yang menganjurkan jamuan Aidilfitri hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada keperluan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) memanjangkan isu penularan video intim mirip seorang menteri memandangkan perkara itu sudah di bawah siasatan polis.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, peringkat parti melalui Lembaga Disiplin PKR juga telah membuat keputusan memberi tempoh 14 hari kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz untuk menjawab surat tunjuk sebab.

"PKR secara jelas telah maklumkan menolak politik lucah. Lembaga Disiplin PKR berikan tempoh kepada Haziq memberikan penjelasan selain mengambil kenyataan Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali).

"Apa-apa isu lain kita ambil maklum, selebihnya kita serahkan kepada pihak polis," katanya mengulas isu penularan video tersebut.

Beliau yang juga bekas Ketua AMK berkata demikian selepas menghadiri jamuan Aidilfitri anjuran Persatuan Penduduk Seksyen 10 Wangsa Maju hari ini.

Ditanya mengenai bantahan pimpinan AMK yang menolak keputusan Lembaga Disiplin PKR dan mendesak Haziq dipecat serta merta katanya, semua pihak perlu akur dan menghormati keputusan parti.

"Gesaan pecat yang diumumkan Naib Presidennya, Nazlee Mohd Yunus adalah pandangan peribadinya tidak mewakili suara AMK. Saya kira perkara itu sudah dijelaskan sendiri oleh Ketua AMK (Akmal Nasir).

"Lembaga disiplin dah buat kerja, ada prosesnya dan jika masih tidak berpuas hati kita akan fikirkan langkah-langkah seterusnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, beberapa pihak membantah keputusan Lembaga Disiplin PKR yang memberikan tempoh 14 hari kepada Haziq menjawab surat tunjuk sebab.

Ia termasuk Nazlee selepas hadir mesyuarat tergempar pimpinan AMK yang berlangsung di Rumah Pemuda Khamis lalu tanpa kehadiran ketuanya.