Imigresen tahan 142 warga asing

Antara warga asing yang ditahan dalam operasi di rumah kongsi sekitar Shah Alam awal pagi tadi.
Antara warga asing yang ditahan dalam operasi di rumah kongsi sekitar Shah Alam awal pagi tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Selangor menahan 142 orang warga asing atas pelbagai kesalahan dalam operasi yang dijalankan dua lokasi berbeza awal pagi tadi.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, menerusi operasi pertama di rumah kongsi terletak tapak pembinaan di sini, seramai 92 orang warga asing telah ditahan oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata, di lokasi kedua pula, seramai 115 orang warga asing telah diperiksa dan hasilnya seramai 50 daripada mereka telah ditahan.

"Menerusi operasi ini, seramai 265 orang warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar berusia 1 hingga 52 tahun yang tinggal di kedua-kedua rumah kongsi tersebut telah diperiksa oleh penguat kuasa Imigresen.

"Daripada jumlah itu, 142 telah ditahan atas pelbagai kesalahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata semasa pemeriksaan, kebanyakan penghuni rumah kongsi di dua lokasi tersebut sedang tidur malah mereka juga bertindak untuk melarikan diri selepas menyedari kehadiran penguat kuasa.

Beliau berkata, kebanyakan warga asing bertindak berani dengan melarikan diri walaupun hanya memakai kain pelekat dan berkaki ayam tanpa memikirkan risiko bahaya di tapak pembinaan itu.

"Bagaimanapun, anggota operasi yang telah mengepung lokasi tersebut lebih awal telah berjaya menggagalkan cubaan tersebut dan menahan mereka semua," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, semua warga asing yang ditahan di bawa ke pejabat Penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor bagi tujuan pemeriksaan dan seterusnya ditahan di Depot Imigresen Semenyih.

"Kesemua mereka akan disiasat atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas/permit yang sah, Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana telah tamat tempoh pas/permit," katanya.