Malaysia mahu pelan hantar pulang Rohingya lebih komprehensif

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah - Foto Bernama
Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Malaysia mahukan supaya pelan penghantaran pulang pelarian etnik Rohingya ke Myanmar dibuat secara komprehensif bagi menjamin keselamatan mereka, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Menurutnya dalam Majlis Makan Malam Menteri-menteri Luar Asean semalam, Malaysia menyuarakan pandangan agar sebarang pelan penghantaran pulang pelarian etnik Rohingya, perlu mendapatkan pandangan dari mereka (etnik Rohingya sendiri), dan juga Civil Society Organisation (CSO) yang melakukan kerja-kerja kemanusiaan di kem pelarian Cox’s Bazaar.

Beliau berkata ia merupakan antara tiga perkara yang menjadi fokus Malaysia di Sidang Kemuncak Asean Ke-34 yang sedang berlangsung di Bangkok, dalam membantu pelarian etnik Rohingya.

Bercakap kepada media Malaysia selepas menghadiri Asean Foreign Minister’s Meeting (AMM) di sini hari ini, Saifuddin berkata Malaysia juga berhasrat untuk menegakkan keadilan untuk etnik Rohingya dan membawa pihak tidak bertanggungjawab yang telah melanggar hak asasi kumpulan itu ke muka pengadilan.

Ketiga, menurutnya Malaysia komited untuk meningkatkan kerja-kerja kemanusiaan iaitu di Cox’s Bazaar dan juga di Malaysia yang mempunyai ramai pelarian etnik Rohingya. Rohingya yang merupakan kumpulan minoriti Muslim di Myanmar yang terpaksa meninggalkan kampung halaman berikutan penindasan yang dilalui mereka, yang memaksa mereka melarikan diri dan mendapatkan perlindungan di kem sementara di sempadan susulan serangan ke atas etnik itu pada 2017.

Sementara itu, ditanya berhubung operasi 24 jam di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao yang bermula sejak 18 Jun lalu, Saifuddin berkata ia telah mendapat sambutan yang baik, namun ada beberapa isu perlu diselesaikan, termasuk kesesakan di CIQ Sadao.

"Saya jangka perkara-perkara (isu yang timbul) akan dibincangkan di peringkat pegawai dahulu.

"Perkara ini (kesesakan di CIQ Sadao) perlu disegerakan sebab ia penting. Lebih kurang 60 peratus daripada perdagangan Thailand dan Malaysia adalah melalui kawasan ini (sempadan Malaysia-Thailand) dan menuju ke Pulau Pinang, Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini sebuah akhbar Bahasa Inggeris membuat laporan mengenai kesesakan di CIQ Sadao, yang menyaksikan ada kenderaan pengguna yang terpaksa beratur panjang selama enam jam sebelum dapat melepasi sempadan, ada juga laporan yang mengatakan bahawa masalah itu timbul berikutan perubahan prosedur oleh Jabatan Kastam Thailand. -Bernama