MH17: JUST, PGPF persoal tindakan pasukan penyiasatan bersama

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) yang diketuai Belanda tidak mengemukakan sebarang bukti kukuh untuk menunjukkan bahawa empat suspek yang dinamakannya sebagai bertanggungjawab terhadap penembakan pesawat Malaysia Airlines MH17, kata International Movement for a Just World (JUST) dan Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPGF).

Dalam satu kenyataan bersama, JUST dan PGPF juga mempunyai keraguan seperti Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap dakwaan bahawa Rusia bertanggungjawab dalam penembakan MH17 pada 17 Julai 2014.

"Memang betul apabila Dr Mahathir menyatakan bahawa sejak awal lagi ada motif politik untuk menuding jari kepada Rusia,” kata kenyataan itu.

Pada Rabu, JIT mengumumkan apa yang dikatakan penglibatan anggota tentera Rusia dalam tragedi MH17. Penyiasat antarabangsa mendakwa empat suspek - tiga warga Rusia dan seorang rakyat Ukraine - atas tuduhan membunuh berhubung penembakan MH17 di timur Ukraine yang mengorbankan semua 298 penumpang.

Dr Mahathir, yang meminta bukti dan bukan hanya cakap-cakap sahaja, berkata Malaysia kurang senang dengan penyiasatan terhadap insiden tersebut kerana sejak awal lagi ia telah bertukar menjadi isu politik. JUST dan PGPF berkata bersama-sama beberapa penyiasat bebas, mereka telah menimbulkan persoalan asas mengenai siasatan sejak 2014.

"Mereka mempersoalkan bagaimana penyiasatan itu boleh dipercayai apabila Ukraine menganggotai pasukan penyiasatan sedangkan Ukraine didakwa terlibat dalam serangan ke atas MH17.

"Yang memburukkan lagi keadaan ialah empat anggota JIT, iaitu, Australia, Belgium, Belanda dan Ukraine mencapai kesepakatan pada 8 Ogos 2014 bahawa keputusan siasatan hanya boleh diumumkan jika mencapai persetujuan dari semua empat pihak berkenaan. Malaysia dengan sengaja dikecualikan daripada terlibat pada peringkat awal penyiasatan.

"Mencapai kesepakatan di kalangan keempat-empat negara itu mengenai syarat sebenarnya membolehkan Ukraine mempunyai kuasa veto yang efektif terhadap proses membuat keputusan,” kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Hasil siasatan MH17 bermotif politik, dakwa Tun M

JUST dan PGFP menarik perhatian bahawa sepanjang penyiasatan, percubaan untuk mendapatkan data yang boleh diverifikasi secara bebas tidak berjaya dan ini termasuk salinan komunikasi yang diperakui antara pengawal trafik udara Ukraine dan kru penerbangan pesawat melang tersebut dan fail Comma Separated Variable (CSV) dari perakam data penerbangan pesawat. "Kurangnya ketelusan menimbulkan keraguan serius mengenai integriti siasatan. Akibat penyiasatan yang dikatakan berat sebelah, barang bukti berkualiti tinggi yang sedia ada tidak tertakluk kepada analisis dan penilaian yang teliti, "katanya.

Kenyataan bersama itu berkata, menangkap dan mendakwa individu dalam penyiasatan yang berat sebelah tidak memberi keadilan kepada keluarga mangsa-mangsa tragedi yang dahsyat itu.

Pesawat MH17 sedang dalam penerbangan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam apabila ditembak jatuh sebelum terhempas dekat Torez fi Donetsk Oblast, Ukraine - kira-kira 40 kilometer dari sempadan Rusia - pada 17 Julai, 2014.

Kesemua 298 orang termasuk 15 kru terkorban dalam tragedi tersebut. -Bernama