JPJ serbu port mat rempit dalam operasi khas

Anggota UPB JPJ Terengganu sedang melakukan pemeriksaan ke atas sebahagian motosikal ditunggangi mat rempit yang ditahan dalam Ops Khas Mat Rempit, semalam. (Gambar kecil, Zulkarnain)
Anggota UPB JPJ Terengganu sedang melakukan pemeriksaan ke atas sebahagian motosikal ditunggangi mat rempit yang ditahan dalam Ops Khas Mat Rempit, semalam. (Gambar kecil, Zulkarnain)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keterujaan sekumpulan samseng jalanan merempit di beberapa laluan sekitar Kuala Nerus terbantut apabila 'port' tersebut diserbu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dalam Ops Khas Mat Rempit, semalam.

Operasi yang bermula kira-kira jam 4.30 petang hingga 8 malam oleh Unit Penguatkuasa Bermotosikal (UPB) JPJ Terengganu menyaksikan pelbagai ragam cubaan kumpulan mat rempit itu untuk melarikan diri selepas menyedari kehadiran penguat kuasa.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, bagaimanapun usaha kumpulan ini gagal kerana sebelum operasi dijalankan, pihaknya sudah mengepung di sekitar 'port' termasuk beberapa laluan utama dan persimpangan lampu isyarat di sekitar Gong Badak serta laluan ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus.

"Dalam operasi itu, sebanyak 130 motosikal diperiksa dengan 54 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai lesen (sembilan kes), tiada cukai jalan dan insuran (empat kes), tidak memakai topi keledar (27 kes) dan tiada cermin sisi (lima kes).

"Semua yang ditahan berusia antara 15 hingga 20 tahun dengan lima saman dikeluarkan membabitkan kesalahan menunggang motosikal di bawah umur selain turut mengeluarkan 22 notis saman JPJ (P)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zulkarnain berkata, pihaknya mengingatkan ibu bapa atau penjaga supaya sentiasa mengawal pergerakan anak-anak mereka seterusnya mematuhi peraturan jalan raya ketika menunggang atau membonceng motosikal sama ada untuk ke sekolah atau melakukan aktiviti riadah.

Katanya, penguatkuasaan terhadap penunggang motosikal akan dipertingkatkan operasi di seluruh Terengganu bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian yang membabitkan golongan berkenaan.

Artikel Berkaitan: