Perak berjaya tarik pelaburan RM1.434 bilion

Ahmad Faizal menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis sambutan hari raya, di sini hari ini.
Ahmad Faizal menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis sambutan hari raya, di sini hari ini.
A
A
A

TELUK INTAN - Kerajaan Perak berjaya menarik pelaburan sebanyak RM1.434 bilion nilai pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan domestik bagi suku pertama tahun ini berbanding RM249 juta tempoh sama tahun lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pencapaian berkenaan turut meletakkan Perak ditangga kelima berdasarkan statistik daripada Lembaga Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi tempoh Januari hingga Mac 2019.

"Perak telah mendapat jumlah pelaburan yang diluluskan oleh MITI dan MIDA sehingga Mac 2019 iaitu sebanyak RM1.434 bilion yang mana RM587 juta daripada pelabur tempatan manakala RM849 juta daripada pelabur luar.

"Ini menunjukkan betapa pelabur luar mempunyai keyakinan terhadap kestabilan politik di negeri ini dan mereka berani datang dengan pelaburan yang cukup besar," katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Perak, di Langkap, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, jumlah RM1.434 bilion itu merupakan usaha yang dilakukan kerajaan negeri sehingga Mac dan pihaknya yakin jumlah pelaburan yang masuk ke Perak sehingga pertengahan tahun ini adalah lebih tinggi.

"Oleh itu, kita perlu berusaha kerana jumlah ini menunjukkan Perak berada di kedudukan kelima selepas Pulau Pinang, Kedah, Johor dan Selangor bagi bersaing mendapat kedudukan yang lebih baik," katanya.

Ahmad Faizal turut menegaskan Kerajaan Perak sentiasa bekerja kuat dalam menarik pelaburan di negeri ini namun berhadapan cabaran apabila terpaksa berhadapan dengan masalah pengusahaan dan penerokaan tanah haram.

"Kerana itu kita menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyelesaikan masalah ini sejak awal tahun lalu yang menyebabkan pelabur tidak dapat masuk dengan segera di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana pelabur telah bersedia untuk melabur dengan membuka kilang namun mereka mendapati tanah itu mempunyai pengusaha atau peneroka secara haram dan terpaksa mengambil masa menyelesaikan masalah itu," katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya yakin sekiranya masalah pengusahaan dan penerokaan haram di tanah kerajaan dapat ditangani Perak akan mampu menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini.