Kerajaan tingkat penguatkuasaan larangan merokok

Boon Chye (kanan) membelah lemang sebagai gimik perasmian program Karnival Syawal @ Sekolah Agama Rakyat At-Tolibiah di Kampung Changkat Larang, Lahat hari ini.
A
A

IPOH - Kerajaan akan terus meningkatkan penguatkuasaan larangan merokok dengan memperluaskan lagi kawasan larangan merokok menjelang 1 Januari 2020.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, penguatkuasaan berkenaan bakal melibatkan perluasan bagi kawasan merokok sedia ada termasuk kawasan-kawasan makan yang tidak berhawa dingin (terbuka).

Menurutnya, penguatkuasaan berkenaan secara keseluruhannya bertujuan untuk mendidik golongan perokok samada mengurangkan tabiat merokok, berhenti merokok atau sekurang-kurangnya mengubah sikap untuk tidak lagi merokok di khalayak ramai.

"Kita tahu ada yang masih tak akur kepada peraturan, tapi saya harap demi kesihatan sendiri dan kepentingan penjagaan kesihatan orang di sekeliling.

"Oleh itu, sebagaimana kita menghormati hak mereka untuk merokok, mereka juga patut menghormati hak golongan yang tidak merokok di sekeliling kita," katanya di sini hari ini.

Boon Chye berkata demikian pada sidang media sempena perasmian program Karnival Syawal @ Sekolah Agama Rakyat At-Tolibiah di Kampung Changkat Larang, Lahat hari ini.

Hadir sama Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah yang juga ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Sementara itu Boon Chye yang juga Ahli Parlimen Gopeng berkata, penguatkuasaan pada ketika ini lebih bertujuan untuk mendidik orang ramai terutamanya mengurangkan tabiat merokok atau terus berhenti merokok.

Bagaimanapun katanya, usaha pendidikan berkenaan memerlukan masa dan bukannya sehari dua.

"Apa pun setakat ini 80 peratus dah mula patuhi larangan ini khususnya di premis makanan. Kita akan teruskan penguatkuasaan pendidikan sehingga hujung tahun ini.

"Mulai 1 Januari 2020, kita akan kuatkuasakan sepenuhnya larangan merokok seperti di tempat makan berhawa dingin, tempat ibadat atau di kawasan pejabat kerajaan, institusi pengajian tinggi, kawasan rehat dan rawat di lebuh raya.

"Bagi yang tidak akur akan disaman," katanya.