AMK ingatkan kerajaan jangan alpa

Suasana Kongres Nasional AMK 2018
Suasana Kongres Nasional AMK 2018
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diingatkan untuk tidak alpa dan sentiasa memberi perhatian kepada kuasa yang telah diberikan rakyat semasa PRU14 yang lepas untuk menyelesaikan pelbagai masalah terutama kos sara hidup.

Ketua AMK Kelantan, Mohd Khairul Amin berkata, rakyat memilih Pakatan Harapan (PH) bukan kerana sokongan terhadap parti komponennya, tetapi kerana mereka yakin bahawa PH mampu membawa perubahan berbanding kerajaan terdahulu.

"Kita diberi mandat kerana rakyat keseluruhannya telah tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi dan mereka telah beri mesej jelas bahawa kuasa rakyat tidak boleh dipermainkan," katanya semasa membahas ucapan dasar Ketua AMK pada Kongres Nasional AMK 2018, di sini, hari ini.

Mohd Khairul berkata, perwakilan Kelantan akur langkah penjimatan kerajaan dalam menghadapi krisis kewangan negara, namun turut mengingatkan supaya ia tidak dilaksanakan sehingga rakyat terpaksa `mengikat perut'.Turut senada Exco AMK Terengganu, Ahmad Kusyairi Khalid yang menarik perhatian bahawa kepentingan rakyat khususnya daripada golongan B40 perlu diberi keutamaan dan dibela dalam memacu kestabilan ekonomi.

Beliau berkata, kerajaan telah menyediakan Belanjawan 2019 yang menyeluruh dan berharap mekanisme yang sesuai digunakan supaya kadar agihan peruntukan dilakukan sama rata di setiap negeri bagi mengurangkan kesan ketidakseimbangan ekonomi.

Sementara itu, Timbalan Ketua AMK Sarawak, Simon Siah mahu supaya kerajaan PH mengambil peluang yang didakwanya disia-siakan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu dalam membangunkan Sarawak.

"Selama ini dalam pentadbiran kerajaan BN, Sarawak dianaktirikan. Kekayaan Sarawak dicuri dan tanah Sarawak dirampas oleh kroni-kroni sehingga orang Sarawak semakin sengsara. Elektrik tak ada, jalan tak ada, air bersih tak ada. Pendidikan anak-anak tak ada," katanya.

Timbalan Pengerusi Tetap, Mohammad Azhan Che Seman, kemudian meminta semua perwakilan berdiri menyatakan sokongan kepada perwakilan Sabah dan Sarawak, dengan menyatakan bahawa AMK akan terus mendesak supaya kerajaan PH dapat merealisasikan pembangunan sama rata terutama di dua negeri tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kongres Nasional PKR 2018 bermula hari ini sehingga Ahad ini menyaksikan penyertaan 2,735 perwakilan dengan dimulakan Kongres AMK dan Wanita hari ini.

Ini merupakan kongres nasional PKR pertama kali yang diadakan sejak PH berjaya membentuk kerajaan selepas memenangi PRU-14 Mei lalu.-Bernama