Tiket RM4 untuk migran pulang ke negara asal

Program Reuniting Families diumumkan syarikat penerbangan Volaris kelmarin bertujuan untuk membantu penghantaran pulang migran.
A
A

MEXICO CITY - Sebuah syarikat penerbangan Mexico menawarkan tiket AS$1 (RM4) kepada migran tanpa dokumen sah yang mahu pulang ke Costa Rica, El Salvador dan Guatemala selepas negara itu kini bergelut untuk menyekat ketibaan migran baharu dari Amerika Tengah.

Program Reuniting Families itu diumumkan syarikat penerbangan Volaris kelmarin bertujuan untuk membantu penghantaran pulang golongan tersebut.

Tawaran itu akan berlangsung sehingga 30 Jun ini dan terbuka kepada pendatang yang mahu menaiki penerbangan pulang dari lapangan terbang di Tijuana dan Ciudad Juarez yang berdekatan dengan sempadan Amerika Syarikat atau Guadalajara dan Mexico City.

Penumpang bagaimanapun tidak boleh memilih tempat duduk di bawah tawaran tambang tersangat murah itu yang tidak termasuk cukai.

Di bawah program itu, migran dewasa hanya perlu menunjukkan dokumen identiti mereka manakala kanak-kanak perlu mengemukakan pasport atau sijil kelahiran.

Difahamkan, gelombang kebanjiran migran dari Amerika Tengah tiba di Mexico sejak beberapa bulan lalu selepas kerajaan di bawah pentadbiran Presiden Andres Manuel Lopez Obrador yang mengambil alih jawatan pada 1 Disember lalu mengisytiharkan bahawa beliau akan melaksanakan dasar imigresen lebih fleksibel. - AFP