Kisah Rasulullah dibantu Kristian

KOLUM: BUKA MINDA

A
A
A

SAYA amat harapkan dan doakan agar era Malaysia Baharu membawa suatu sikap persahabatan lebih baik di antara umat Islam dan umat Kristian dalam negara ini. Orang Melayu umumnya benci kepada orang Kristian atas momokan ustaz dan khutbah yang mengingatkan umat Islam bahawa Kristian itu seteru Islam.

Dalam era kini, orang Melayu perlu bangun daripada tidur dan celik ilmu daripada gelumang dongengan dan dendangan ahli politik dan golongan agama yang sempit fikirannya terhadap isu-isu Islam dan hubungan dengan kaum lain. Saya pasti kesemua disajikan golongan agama itu dicakapkan dalam keadaan si pembicara itu sendiri tidak mempunyai kredibiliti ilmu walau bertaraf mufti.

Golongan agamawan ini hanya tahu bayang-bayang ilmu agama lain tetapi pandai mereka-reka tohmahan dan tuduhan.

Kalau kita sendiri termakan tanpa menilai ceramah tersebut maka kita sama-sama terjerat dalam perangkap dosa fitnah terhadap orang bukan Islam.

Ada pula orang Melayu menganggap bahawa dosa fitnah terhadap bukan Islam tidaklah sebesar dosa fitnah terhadap orang Islam sendiri. Saya tidak tahu didikan apa pendapat sebegini tetapi saya sendiri sering menghindarkan diri daripada menyampaikan fitnah. Hubungan

Saya amat tertarik dengan cerita Rasulullah dengan orang Kristian yang saya baca dalam terjemahan kitab Sirah Ibnu Ishak tentang riwayat atau sirah Rasulullah. Dalam kitab yang dikarang 1,300 tahun lalu, terdapat insiden melibatkan hubungan Rasulullah dengan orang Kristian.

Yang paling menarik perhatian saya adalah kisah bagaimana Rasulullah mengarahkan lebih seratus umat Islam awal di Makkah untuk berhijrah ke Abysinia dan duduk di bawah naungan Raja Kristian bernama Raja Negus. Saya yakin ramai umat Islam Melayu di negara ini tahu akan kisah ini tetapi gagal memahami implikasi konsep spiritual serta hubungan antara agama.

Dikisahkan apabila umat Islam tiba di Abisinia dan diberikan kebenaran oleh Raja tersebut untuk tinggal di bawah lindungannya, orang Quraisy menghantar dua wakil untuk membawa umat Islam ini pulang.

Artikel Berkaitan:

Mereka cuba memfitnah bahawa umat Islam ini adalah penjenayah yang lari tetapi apabila Raja mendengar penjelasan wakil orang Islam baginda menolak tuduhan Quraisy.

Kemudian, wakil Quraisy menggunakan helah lain iaitu dengan menghasut golongan agamawan Kristian dan ketua-ketua tentera bahawa umat Islam ini menghina Nabi Isa sebagai Rasul dan bukannya Tuhan. Apabila Raja Negus bertanya kepada wakil orang Islam, beliau menjawab dengan berhemah dan Raja masih enggan melepaskan orang Islam ke tangan Quraisy.

Telah disebutkan juga Raja Negus difitnah oleh orang bangsawannya sendiri dengan mengatakan baginda murtad daripada Kristian serta mengikuti agama baharu itu.

Dalam kegawatan tersebut Raja Negus sanggup menyediakan sebuah kapal dan berpesan kepada wakil Islam untuk berlayar dengan kapal tersebut seandainya baginda tumpas di tangan pemberontak. Akhir sekali pemberontakan dipatahkan dan umat Islam hidup aman di bawah naungan Raja beragama Kristian.

Pengajaran bagi saya untuk negara kita adalah kenapa Rasulullah memilih untuk menghantar umat Islam kepada seorang Raja beragama Kristian? Bukankah ini bermaksud ada orang Kristian yang mempunyai keimanan yang mendapat keyakinan Rasulullah? Kita juga dapat melihat betapa hati Raja Kristian itu amat adil dan ihsan kepada umat Islam.

Maka itu pengajarannya, kita boleh bersahabat dengan orang Kristian yang baik-baik dan beriman. Berbeza apabila kita dinasihatkan malah diarahkan untuk jangan mempercayai langsung umat Kristian.

Kita harus melihat dalam banyak hal sejarah, tujuan politik atau ekonomi serta kerakusan individu bukan ukuran kebaikan sesuatu agama.

Dalam Islam juga terdapat kezaliman. Lihat saja kes pembunuhan Jamal Kashoggi yang dikatakan dibuat oleh orang Islam Saudi. Adakah ini refleksi kezaliman dan keadilan Islam? Sudah tentu tidak.

Maka dalam negara ini, kita harus melihat semula kisah penting ini dan membuat refleksi sendiri dan bukannya di atas momokan golongan agamawan berpendirian sempit.

Al-Quran sendiri mengarahkan umat Islam mempercayai kitab-kitab sebelumnya. Pernahkah kita membaca Kitab Injil? Saya sendiri khatam New Testament dan memahami dengan lebih dekat naratif Kristian.

Kitab Injil masa kini adalah yang disusun 300 tahun sebelum kelahiran Rasulullah dalam Council of Nicaea yang ditubuhkan Maharaja Rom 325 Masihi. Pokok pangkalnya apabila al-Quran turun ke bumi 300 tahun setelah Council bersidang, hanya Kitab Injil yang wujud.

Ada ustaz yang mengatakan kitab diubah suai tetapi tiada kredibiliti membuktikannya serta tiada intelek yang boleh memahami konsep penulisan agama dan historiografi.

* Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rosli ialah Pensyarah UCSI University, Kampus Cheras, Kuala Lumpur