X

Kindly register in order to view this article
!

Borong ketam RM1 seekor

Orang ramai memilih ketam pada harga murah yang dijual di Pulau Warisan, hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Kawasan pesisir sungai di Pulau Warisan, di sini menjadi tumpuan orang ramai yang ingin mendapatkan makanan laut istimewa, ketam yang dijual hanya pada harga RM1 hingga RM4 seekor.

Orang ramai terutamanya penduduk di sekitar kawasan itu mula berkumpul seawal jam 8 pagi setelah mendapat maklumat mengenai jualan ketam murah serendah RM1 seekor yang dibawa dari Dungun, ditularkan menerusi media sosial sejak semalam.

Seorang pelanggan, Muhammad Azam Mohd, 38, dari Kampung Tanjung berkata, dia bertolak ke lokasi kira-kira jam 7.45 pagi untuk mendapatkan ketam pada harga yang murah.

“Memang ramai yang datang ke lokasi ni setelah dapat maklumat menerusi media sosial. Ramai juga yang datang awal bila dapat tahu ketam akan mula dijual pada sebelah pagi ini.

“Saya sempat beli dalam 15 ekor ketam yang dijual pada harga RM2 sebab hari ini stok bagi ketam RM1 tak ada. Jadi, dapat beli yang RM2 seekor pun tak apa sebab bagi saya harganya murah dan berbaloi,” katanya.

Pelanggan mengerumuni kotak ketam yang dijual pada harga RM2 hingga RM4 di Pulau Warisan.
Pelanggan mengerumuni kotak ketam yang dijual pada harga RM2 hingga RM4 di Pulau Warisan.

Sementara itu, peniaga, Nur Amirah Syairah Alias, 32, yang berasal dari Kampung Sungai Udang, Dungun, berkata, jualan di Pulau Warisan bermula sekitar jam 9.30 pagi dan ketam yang dijual bermula pada harga RM2 hingga RM4.

“Ini hari kedua kami menjual ketam di Pulau Warisan, Kuala Terengganu. Sebelum ini, kami bermula di Arena Square, Dungun, di mana jualan dilakukan pada sebelah malam, Isnin lalu dengan menjual ketam RM1.

“Hari ini ketam RM1 tak ada stok, jadi ketam yang dijual adalah yang berharga RM2, RM3 dan RM4 sahaja untuk seekor.

“Semalam kami bawa jual 200kg ketam sahaja di sini (Pulau Warisan) dan sambutan yang diterima memang hangat, 200kg tak cukup. Semuanya habis dalam masa tak sampai satu jam.

“Jadi, hari ini kami tambah kepada 500kg. Kesemua habis dijual sehingga jam 2 petang tadi,” katanya.

Pelanggan menunggu sejak jam 7 pagi untuk mendapatkan ketam yang dijual pada harga murah.
Pelanggan menunggu sejak jam 7 pagi untuk mendapatkan ketam yang dijual pada harga murah.

Menurut Nur Amirah Syairah, dia bertolak dari Dungun sekitar jam 8 pagi dan tiba di Kuala Terengganu dalam jam 9.20 pagi.

“Sebolehnya kami memang nak sampai awal sebab tak mahu pelanggan menunggu lama. Tetapi stok ketam yang kami dapat dari Rompin, Pahang, tiba dalam jam 5 pagi. Selepas kumpul stok, kami berkemas, rehat dan mula bergerak ke Kuala Terengganu.

“Kami berhasrat nak jual di Marang, tetapi bergantung pada stok yang ada sebab ketam ni bermusim, mungkin dua, tiga hari lagi mungkin musim ia akan habis. Kita jual ketam ini bergantung pada stok dan musim.

“Kalau stok yang dapat lebih 100kg, kami akan jual di tempat lain, kalau ada dalam 100kg sahaja, kami hanya akan jual di Dungun sahaja,” katanya.

Seorang pelanggan menunggu giliran untuk membayar ketam yang dibeli di Pulau Warisan.
Seorang pelanggan menunggu giliran untuk membayar ketam yang dibeli di Pulau Warisan.

Nur Amirah Syairah berkata, perniagaan itu dijalankan dengan bantuan adik beradik serta beberapa anak saudaranya.

Katanya, idea untuk menjual ketam RM1 itu diperoleh setelah melihat ada makanan laut lain, udang, yang dijual pada harga RM1 seekor sebelum ini.

“Niat saya nak berkongsi rezeki bersama orang ramai. Jadi bila difikirkan balik, tak rugi jual ketam RM1, sekurang-kurangnya dapat membantu orang yang mahu makan makanan itu, tetapi tak mampu sebab harga yang mahal.

“Tambahan pula, dengan keadaan ekonomi sekarang, boleh dikatakan harga bagi makanan laut pun agak mahal. Jadi, kita harap orang ramai dapat ambil peluang yang ada sementara stok masih ada,” katanya.