Tiga remaja rosakkan makanan di kedai serbaneka serah diri

Perbuatan suspek mendapat kecaman netizen.
Perbuatan suspek mendapat kecaman netizen.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMASKINI] Polis menahan tiga remaja selepas mereka tampil menyerah diri hari ini bagi membantu siasatan kes merosakkan makanan di sebuah kedai serbaneka di Nilai seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Marzukee Besar berkata, ketiga-tiga remaja itu termasuk dua daripadanya yang berumur 18 dan 20 tahun ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai pada jam 3.45 petang.

“Mereka mengaku melakukan perbuatan itu dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat. Kita juga akan mengemukakan permohonan reman terhadap mereka bagi siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Tindakan suspek sengaja merosakkan makanan dan minuman di premis serbaneka di Nilai semalam.
Tindakan suspek sengaja merosakkan makanan dan minuman di premis serbaneka di Nilai semalam.

Semalam, tular di media sosial video berdurasi 1 minit 10 saat yang memaparkan perbuatan seorang remaja yang dipercayai sengaja merosakkan makanan di sebuah kedai serbaneka.

Dalam rakaman itu, remaja tersebut juga bertindak membuka minuman sebelum meletaknya semula di rak. Dalam rakaman tersebut juga ada seorang lagi remaja lelaki sedang mentertawakan tindakan berkenaan.

Bagaiamapun, video itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen dan susulan tersebarnya video tersebut, pihak polis mengeluarkan kenyataan memburu suspek termasuk pemilik akaun laman sosial Instagram 'luqbubbles'.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, luqbubbles membuat permohonan maaf mengaku sebagai individu yang melakukan perbuatan itu serta mendakwa akan membayar balik kerosakan yang dilakukan.