Mat rempit tinggal motosikal dalam semak

Antara yang ditahan dalam Ops Khas Motosikal di Ambangan Heights semalam.
Antara yang ditahan dalam Ops Khas Motosikal di Ambangan Heights semalam.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Empat mat rempit bertindak meninggalkan motosikal yang dinaiki selepas diserbu dalam Ops Khas Motosikal di Ambangan Heights, semalam.

Anggota penguatkuasaan yang melakukan pemeriksaan ke lokasi kejadian menemui empat motosikal terbabit dalam kawasan semak ditinggalkan mereka.

Terdahulu, kesemua mereka yang leka melakukan aksi berbahaya bertindak terjun gaung ketika cubaan melarikan diri, sebelum menuju ke kawasan semak tidak jauh dari situ.

Manakala, selebihnya melencung ke beberapa arah lain sebaik sahaja ternampak kelibat anggota penguat kuasa yang melakukan serbuan.

Bagaimanapun, tindakan mereka gagal apabila anggota penguat kuasa pantas bertindak dengan mengepung kawasan terbabit terlebih dahulu.

Kawasan semak yang menjadi lokasi mat rempit melarikan diri.
Kawasan semak yang menjadi lokasi mat rempit melarikan diri.

Kesemua mereka akhirnya berjaya dikepung dan kenderaan mereka diperiksa.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil pemeriksaan mendapati, sebanyak 117 kesalahan direkodkan membabitkan 104 kenderaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, antara kesalahan dikenal pasti termasuk tujuh daripadanya merupakan penunggang bawah umur.

"Tujuh kes membabitkan ubah suai kenderaan, satu kesalahan berkaitan brek, 11 kesalahan berkaitan aksesori dan 12 kes lain membabitkan lesen.

"Kita juga telah kenal pasti 22 kes membabitkan topi keledar, 12 kes berkaitan nombor pendaftaran dan 12 kes membabitkan cermin sisi.

"Operasi bermula jam 5.30 petang itu berakhir jam 10 malam tadi," katanya.

Empat daripadanya meninggalkan motosikal di kawasan semak berhampiran.
Empat daripadanya meninggalkan motosikal di kawasan semak berhampiran.

Dalam operasi berkenaan, sebanyak 19 motosikal disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut menasihati ibu bapa agar mengawasi anak-anak bagi mengelakkan terlibat dalam kegiatan tidak sihat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi polis atau menyalurkan ke balai polis terdekat bagi mengekang kegiatan mat rempit dalam kalangan remaja," katanya.

Menurutnya, operasi juga adalah hasil maklumat awam yang menyedari kehadiran remaja yang sering melepak dan menunggang motosikal di kawasan terbabit tanpa memakai topi keledar selain menunggang dengan cara berbahaya.