Salah guna ketum: PKR Perlis tak terima maklumat

No Image Caption
A
A
A

KANGAR - PKR Perlis tidak menerima sebarang maklumat mengenai pemimpin yang dikaitkan dengan salah guna ketum sehingga kepimpinannya dipertikaikan oleh akar umbi parti berkenaan melalui memorandum bertarikh 24 Mei lalu.

Naib Pengerusi PKR Perlis, Noor Amin Ahmad berkata, pihaknya hanya maklum mengenai isu berkenaan setelah dilaporkan media semalam namun tidak tahu menahu mengenai isi memo berkenaan dan individu yang dimaksudkan.

Katanya, beliau difahamkan memorandum itu disampaikan oleh sekumpulan pemimpin cabang Padang Besar yang turut melibatkan Timbalan Ketua Cabang, Wan Mohamad Fishaal Wan Daud.

"Saya tidak tahu menahu mengenai isu ini, namun sekiranya kejadian itu benar-benar berlaku, pengadu-pengadu perlu mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaan mereka itu," katanya ketika ditemui di Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pertubuhan Keselamatan Sosial Perlis di sini hari ini.

Menurutnya, beliau bagaimanapun percaya parti ada mekanisme sendiri untuk menangani aduan-aduan yang diterima daripada anggota.

"Kita juga mempunyai lembaga disiplin, sekiranya pihak pengadu ada bukti yang menyokong dakwaan mereka, langkah -langkah yang rasional dan sepatutnya akan diambil oleh parti," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kangar berkata, sebelum ini tidak berlaku sebarang konflik di antara pemimpin di dalam parti di negeri ini dan perpaduan antara mereka masih utuh.

Semalam sebuah portal melaporkan bahawa seorang pemimpin PKR Perlis terpalit dakwaan salah guna ketum, menyebabkan kepimpinannya dipertikai dan diadukan kepada presiden parti.

Artikel Berkaitan:

Salinan memo berkenaan juga dipercayai diberikan kepada beberapa pemimpin kanan PKR.