Tikam guru: Reman pelajar tingkatan 5 disambung empat hari

Azizan Tukiman
Azizan Tukiman
A
A
A

BANTING - Seorang pelajar tingkatan lima yang menikam guru kaunselingnya dalam kejadian di sebuah sekolah di Sungai Manggis, di sini, Ahad lalu, disambung reman empat hari lagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, tempoh reman itu bermula hari ini sehingga Isnin depan.

"Polis juga masih menunggu laporan psikiatri dan perubatan dari Hospital Banting dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

"Berhubung keadaan mangsa, dia telah keluar dari hospital semalam selepas keadaannya menunjukkan perkembangan positif," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Terdahulu, remaja berusia 17 tahun itu ditahan di sekolah terbabit selepas kejadian yang berlaku di bilik pembantu warden sekolah berkenaan kira-kira jam 8.20 malam.

Mangsa, Muhammad Hasnan Salim berusia lingkungan 30-an dilaporkan ditikam beberapa kali di bahagian bahu.

Pelajar tingkatan lima itu kemudian telah direman selama lima hari sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Siasatan awal polis mendapati, motif kejadian adalah dendam berikutan guru berkenaan dikatakan telah menetapkan peraturan yang terlalu ketat di sekolah dan asrama.

Artikel Berkaitan:

[ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar tingkatan lima tikam guru angkara dendam]