29 mangsa sesak nafas sehingga kini: KKM

Noor Hisham Abdullah
Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan sehingga jam 10 pagi tadi, terdapat 29 mangsa yang terdiri daripada pelajar sekolah telah mendapatkan rawatan berikutan masalah sesak nafas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, punca kejadian masih belum dikenalpasti, namun keadaan kesemua pesakit stabil dan tiada kes dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) serta tiada kematian dicatatkan.

“Sehingga jam 10 pagi, terdapat 29 mangsa telah mendapatkan rawatan iaitu 21 perempuan dan lapan lelaki. 16 daripada mereka adalah dari Sekolah Agama Taman Mawar, iaitu 14 pelajar dan dua dewasa, manakala 13 lagi adalah dari Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang (4) di mana kesemuanya adalah pelajar.

“Seramai 14 mangsa telah dirawat sebagai pesakit luar dan 15 mangsa diberi rawatan di Hospital Sultan Ismail, di mana enam daripadanya telah dimasukkan ke wad,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor masih melakukan pemantauan di lapangan berikutan kejadian yang berlaku.

“Orang ramai dinasihatkan agar mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala kesesakan nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan.

“Klinik Kesihatan Pasir Gudang turut dibuka pada pagi ini bagi menerima dan merawat lain-lain mangsa yang mungkin terkesan susulan daripada kejadian ini,” katanya.

Tambahnya, KKM turut bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam menguruskan kejadian tersebut dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Johor melaporkan satu kejadian pelajar-pelajar sekolah mengalami gejala sesak nafas telah berlaku di Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang, Johor

Panggilan kecemasan telah diterima pada jam tiga petang dan pasukan bantuan kecemasan dari Hospital Sultanah Aminah, Hospital Sultan Ismail dan Klinik Kesihatan Pasir Gudang telah digerakkan untuk memberi bantuan dan operasi bantuan rawatan kecemasan tamat pada jam lapan malam pada malam hari tersebut.