Isu ‘land swap’: Hishammuddin ke SPRM Ahad ini

Azam ketika menjawab soalan media dalam Sidang Media SPRM di Bilik Media SPRM, Aras 3, SPRM Ibu Pejabat, Putrajaya. -Foto Sinar Harian Zahid Izzani
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam telah memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung isu ‘land swap’ membabitkan tanah milik Kementerian Pertahanan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, sehubungan itu, bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan turut dipanggil ke SPRM Ahad ini bagi memberi keterangan.

“Kita juga akan memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantu siasatan berhubung isu ‘land swap’ ini.

“Bagaimanapun SPRM kini sedang mengumpulkan bukti terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk memanggil Najib,” katanya selepas sidang media khas kes 1MDB di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Februari lalu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu membuat kenyataan hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Januari lalu mendapati kerajaan kerugian lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Azam turut memaklumkan bahawa satu pasukan petugas khas baharu akan ditubuhkan bagi mendapatkan semula aset-aset berkaitan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di luar negara yang bernilai hampir RM20.74 bilion.

Jelasnya, pasukan tersebut akan ditubuhkan di bawah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) dan mendapat kerjasama Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara.

“SPRM sudah mengenal pasti aset-aset yang perlu kita dapatkan semula dari luar negara. Pasukan ini perlu ditubuhkan kerana kes 1MDB merupakan satu tugas yang rumit.

“Sekarang kita dalam perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan dan kita sedang berusaha mengesan pergerakan aliran wang selain berbincang mengenai hal perundangan,” katanya.