Projek Agrovalley sasar pelaburan RM1 bilion

Ahmad Faizal (kiri) bersama Yahanis menunjukkan pelan pembangunan projek Perak Agrovalley yang akan dibangunkan di Lenggong.
Ahmad Faizal (kiri) bersama Yahanis menunjukkan pelan pembangunan projek Perak Agrovalley yang akan dibangunkan di Lenggong.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) akan memperkenalkan projek Perak Agrovalley yang menyasarkan nilai pelaburan bernilai RM1 bilion.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azmu berkata, projek berkonsepkan pertanian integrasi itu diluluskan pada mesyuarat Lembaga PPPNP melibatkan tanaman kontan, tanaman sayur, dusun buah-buahan dan pelbagai ternakan berdasarkan kesesuaian topografi kawasan.

"Pembangunan projek ini membabitkan keluasan 1,983.68 hektar di wilayah Bukit Sapi mukim Lenggong menerusi konsep integrasi dan dijalankan secara berfasa.

"Pelaksanaannya akan menyaksikan pelaburan teknologi pertanian moden daripada agensi kerajaan dan swasta dengan kerjasama agensi pertanian lain seperti Jabatan Pertanian, Perikanan, Veterinar, Pertubuhan Peladang Kawasan dan Fama," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahaya di sini semalam.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi PPPNP berkata, PPPNP melaksanakan dan merangka beberapa projek menerusi Ladang Integrasi Bersama Rakyat di ladang-ladang milik PPPNP.

"Projek ini selaras dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggalakkan industri pertanian dengan pelbagai hasil tanaman.

Menurutnya ia termasuk integrasi tanaman antara kelapa sawit dan penternakan lembu membabitkan enam penternak di Ladang Gelong Gajah.

Artikel Berkaitan:

“Dalam perancangan terdekat pula, PPPNP akan menjalankan integrasi antara kelapa sawit dan tanaman kontan iaitu satu jalinan usahasama dengan rakan strategik, Aexis Agriventure Sdn Bhd di kawasan Ladang Sungai Selinsing, Tapah membabitkan tanaman nanas meliputi kawasan seluas 14.16 hektar.

“PPPNP turut menyediakan kawasan seluas 63.41 hektar untuk tanaman kelapa sawit dan nanas di kawasan Lekir dekat Manjung,” katanya.

Dalam pad itu, Ahmad Faizal berkata, PPPNP berjaya mencatat pendapatan sebanyak RM95.2 juta iaitu peningkatan RM3.8 juta pada empat bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Walaupun hasil pengeluaran sawit PPPNP melebihi lima peratus dari sasaran, namun kedudukan kewangan masih terkesan disebabkan kemerosotan harga minyak sawit di peringkat global," katanya.