Melaka peruntuk RM3 juta untuk keceriaan negeri

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A

MELAKA TENGAH - Sebanyak RM3 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi mempertingkatkan aspek kebersihan, keindahan dan keceriaan di negeri ini bertepatan dengan Tahun Melawat Melaka 2019.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, jumlah itu termasuk RM1.5 juta yang disumbangkan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan selebihnya kewangan menerusi tabung infrastruktur.

Menurutnya, usaha ini meliputi kerja-kerja pembersihan seperti kerja mencatas pokok, pemotongan rumput, penyelenggaraan parit, saliran dan sungai, dan pengurusan sampah dalam tempoh enam bulan.

"Sebagai negeri yang sentiasa mementingkan aspek kebersihan, kita akan meneruskan langkah seperti ini dengan memberi tempoh enam bulan bagi semua empat perkara tersebut.

"Selain itu penglibatan pihak swasta juga akan digunakan mengambil contoh beberapa program kebersihan yang dilaksanakan oleh wakil-wakil rakyat di seluruh negeri," katanya.

Adly berkata demikian ketika sidang media mesyuarat Exco kerajaan negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Adly yang juga Adun Bukit Katil berkata, Sistem Tender Online Melaka (STOM) yang dibangunkan Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Pejabat Ketua Menteri akan direaliasikan dan dikuatkuasakan secara berperingkat di semua jabatan dan agensi kerajaan negeri bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan antara jabatan dan agensi pembekal.

Menurutnya, STOM juga akan berperanan sebagai pusat sehenti bagi pembelian dokumen tender atau sebut harga secara dalam talian selain menjadi pangkalan data berpusat yang mempunyai maklumat terkini syarikat pembekal dan sekali gus menjimatkan kos pencetakan dokumen.

Artikel Berkaitan:

"Semua syarikat atau pembekal yang ingin membuat pembelian dokumen secara dalam talian perlu berdaftar dengan STOM dan dikenakan caj langganan RM50 setahun.

"Malah kaedah penyebaran iklan tender atau sebut harga dapat dibuat dengan lebih efisien dan sistematik serta memudahkan penyemakan status atau keputusan urusan berkenaan menerusi laman web dan e-mel," katanya.