Tandas pertama guna sistem solar

Tandas Sejahtera di Dataran Awam Tepi Laut Pontian.
Tandas Sejahtera di Dataran Awam Tepi Laut Pontian.
A
A
A

PONTIAN - Tandas Sejahtera Dataran Awam Tepi Laut Pontian menjadi tandas pertama menggunakan sistem solar yang mesra alam dan mampu menjimatkan tenaga elektrik.

Jurutera Majlis Daerah Pontian (MDP), Muniri Asrhad berkata, MDP memperuntukkan kira-kira RM267,000 bagi membangunkan teknologi mesra alam itu.

Menurutnya, sistem itu menekankan elemen sejahtera yang turut memperluaskan teknologi hijau dan pemuliharaan alam sekitar.

Muniri berkata, idea membangunkan Tandas Sejahtera itu bermula dua tahun lalu di mana penerangan mengenai konsep tandas terbabit telah dibentangkan di hadapan exco kerajaan negeri ketika itu.

Saluran khas di atas bumbung disediakan bagi menadah air hujan untuk kegunaan mengepam sisa najis dan buangan.
Saluran khas di atas bumbung disediakan bagi menadah air hujan untuk kegunaan mengepam sisa najis dan buangan.

“Pembinaan Tandas Sejahtera bermula pada tahun lepas dan siap dibina pada bulan Mei seterusnya dibuka pada orang awam 15 Jun lalu.

“Selepas lima hari dibuka, MDP menerima maklum balas positif dari orang ramai menerusi borang kaji selidik yang diletakkan di kaunter.

“Kebanyakannya berpuas hati dengan mutu tandas yang bersih dan menggunakan pendekatan mesra alam,” katanya semalam.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Pentadbir Tanah Daerah Pontian, Dr Khalid Jusoh dan Ketua WHIP MDP, Zulkifly Tasrep.

Beliau berkata, air hujan akan ditakungkan menerusi saluran khas di atas bumbung yang kemudiannya digunakan bagi mengepam najis dan sisa buangan.

“Bekalan air terawat dari SAJ masih disalurkan menerusi paip ke dalam tandas berkenaan. Pengguna tidak perlu bimbang kerana air takungan hanya digunakan bagi mengepam najis dan sisa buangan.

Muniri (dua dari kanan) di hadapan Tandas Sejahtera yang mula dibuka pada 15 Jun lalu.
Muniri (dua dari kanan) di hadapan Tandas Sejahtera yang mula dibuka pada 15 Jun lalu.

“Langkah menggunakan air takungan bagi mengepam najis dan sisa buangan dapat menjimatkan air,” katanya.

Muniri turut memberitahu, papan tanda mesra OKU cacat penglihatan diletakkan di hadapan tandas berkenaan.

“Tandas Sejahtera mempunyai tandas keluarga, tandas OKU dan bilik persalinan bayi.

“Saya berharap orang awam dapat menjaga kebersihan dan tidak melakukan sebarang kerosakan,” katanya.Sistem itu juga menekankan elemen sejahtera yang turut memperluaskan teknologi hijau dan pemuliharaan alam sekitar.