Bayar zakat menerusi promosi Year End Zakat

PPZ-MAIWP
PPZ-MAIWP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyarankan agar semua umat Islam di Wilayah Persekutuan untuk membayar zakat sebelum berakhirnya tahun ini bagi mendapatkan rebat cukai pendapatan e-filing tahun 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, pihaknya juga akan memperkenalkan pelbagai pendekatan bagi memudahkan orang ramai untuk membayar zakat.

"Kami akan perkenalkan perkhidmatan PPZ-MAIWP dengan Countdown YEZ 2018 (Year End Zakat) bagi memudahkan umum menunaikan pembayaran zakat mereka.

"Dalam pada itu hari bersama pembayar di 11 kaunter PPZ-MAIWP akan menyediakan pelbagai juadah dan beberapa cenderahati bagi menghargai pembayar zakat yang hadir ke 11 kaunter kami. Waktu operasi Kaunter PPZ-MAIWP pada 26 Disember - 31 Disember 2018 dilanjutkan dari jam 8.15 pagi - 9 malam.

"Kaunter khas untuk sebarang taksiran atau pertanyaan zakat juga turut disediakan bagi memudahkan lagi orang ramai yang hadir," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, pembayaran zakat juga boleh dilakukan secara online dengan melayari www.zakat.com.my dengan penyediaan resit rasmi online secara sepenuhnya.

"Kemudahan seperti kalkulator zakat, troli zakat, chatbot FB, video tutorial pengiraan zakat dan juga doa untuk pembayar zakat setelah pembayaran turut disediakan," katanya.

Dalam pada itu katanya pembayaran juga boleh dilakukan menerusi kaunter zakat bergerak.

Artikel Berkaitan:

"Perkhidmatan khas 'Door-To-Door' bagi pembayaran zakat RM5,000 ke atas dan menariknya pada 31 Disember 2018 ini, Kaunter Zakat Bergerak akan beroperasi dari jam 6.00 petang - 12.00 tengah malam di Shamelin Perkasa," katanya.

Jelasnya lagi antara zakat yang boleh ditunaikan antaranya Zakat Harta yang boleh ditunaikan sepanjang bulan Disember iaitu Zakat Pendapatan, Zakat Perniagaan, Zakat Wang Simpanan, Zakat Emas, Zakat KWSP dan Zakat Saham. Umum juga digalakkan untuk menunaikan Qada Zakat sekiranya mempunyai zakat yang tertunda dari tahun sebelum ini.