Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

No Image Caption
A
A
A

RINGGIT dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS hari ini ketika para pelabur memilih untuk berada di luar pasaran sementara menunggu keputusan bank-bank pusat serantau mengenai kadar faedah di negara masing-masing.

Pada 9 pagi ini, ringgit berada di paras 4.1470/1520 berbanding dolar AS daripada 4.1460/1500 sewaktu ditutup pada Khamis.

Seorang peniaga berkata bank-bank pusat Indonesia dan England telah mengumumkan akan mengekalkan kadar faedah sedia ada, namun membayangkan akan mengurangkannya pada masa depan.

"Kedua-dua bank tersebut terbuka untuk melaksanakan pengurangan kadar itu berikutan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan. Kenyataan mereka susulan pendirian sama oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) sebelum ini.

"Ini menunjukkan bahawa bank-bank lain di rantau ini juga akan mengambil langkah sama membabitkan pendirian mengenai kadar faedah mereka," katanya.

Menurut peniaga itu, ringgit dijangka terus mencatat aliran peningkatan berikutan kenaikan harga minyak, sentimen positif hasil perbincangan perang perdagangan AS-China serta harga komoditi yang lebih tinggi.

"Ringgit naik 0.63 peratus semalam berbanding paras sewaktu ditutup pada Rabu. Say yakin, dengan persepsi positif akan menyaksikan ringgit mencecah paras 4.1440 berbanding dolar US pada penutupan (hari ini)," katanya.

Selain itu, ringgit dibuka bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama lain.

Artikel Berkaitan:

Ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2700/2772 daripada 5.2733/2792 semalam namun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0574/0622 daripada 3.0562/0596.

Ringgit bagaimanapun rendah berbanding yen Jepun kepada 3.8623/8681 daripada 3.8453/8494 dan tinggi berbanding euro kepada 4.6828/6901 daripada 4.6862/6924. -Bernama