Hasrat jadikan Kompleks Darul Hidayah sebagai penerima wakaf

Fuziah (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada pemenang program Mahrajan Amal Islami Mualaf Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 2019 di Kompleks Darul Hidayah, Kuala Lumpur semalam, sambil disaksikan Mohd Ajib (kiri).
A
A

KERAJAAN berhasrat menjadikan pusat pengajian asas fardu ain mualaf, Kompleks Darul Hidayah di Kuala Lumpur sebagai penerima dana wakaf pada masa akan datang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, ia akan memberi peluang kepada umat Islam untuk bersama-sama membangunkan kompleks berkenaan dalam memperkasakan jati diri saudara baharu.

"Orang ramai boleh memberi sumbangan yang dikira sebagai amal jariah yang berkekalan di dunia dan akhirat.

"Sebenarnya, ada banyak lagi (perancangan) berkenaan wakaf yang akan kita bangunkan. Malah, wakaf akan dimasukkan di dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) nanti," katanya ketika berucap pada Program Mahrajan Amal Islami Mualaf Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 2019 di Kompleks Darul Hidayah, Kuala Lumpur semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail.

Pada program anjuran JAWI dengan kerjasama pelbagai rakan strategik itu, seramai 28 mualaf terlibat dalam lima acara yang dipertandingkan iaitu tilawah, hafazan, syarahan, solat individu dan azan serta iqamat.

Acara berlangsung selama tiga hari bermula Selasa lalu dan berakhir semalam.

Program Mahrajan Amal Islami Mualaf Peringkat Wilayah Persekutuan mula diperkenalkan sejak 2015.

Pada tahun ini, ia merupakan edisi ketiga penganjurannya selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2017.

Pemenang akan bertanding di peringkat kebangsaan bagi merebut piala pusingan juara keseluruhan Mahrajan Peringkat Kebangsaan.