UTM tolak plastik sekali guna

Wahid (empat dari kiri) bersama makanan yang diambil menggunakan bekas makanan mesra alam.
Wahid (empat dari kiri) bersama makanan yang diambil menggunakan bekas makanan mesra alam.
A
A
A

SKUDAI – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) komited merealisasikan agenda kelestarian dan mendukung inisiatif Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) menerusi pengisytiharan Kampus Tanpa Plastik Sekali Guna (No Single-Use Plastic).

Pelancaran berkenaan bersempena Majlis Tautan Ukhuwah Aidilfitri di sini semalam bagi menyantuni gagasan pelan kampus bersih dan lestari selain usaha membina masyarakat kampus yang mesra alam sekitar.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, dengan pelancaran itu, selepas ini tiada lagi penggunaan plastik sekali guna dalam semua aktiviti rasmi universiti.

Menurutnya, sempena jamuan tersebut, kesemua penggerai dan pengunjung tidak dibenarkan membawa bekas makanan, minuman, sudu dan garfu berasaskan plastik.

“Hanya bekas makanan atau plastik terbiodegradasi dan berasaskan tumbuh-tumbuhan seperti kanji dan selulosa serta penyediaan tong sampah yang berasingan untuk sisa sampah sahaja dibenarkan.

“Pertama kali juga kita buat secara majlis ini tidak sediakan apa-apa plastik pakai buang tetapi kita sudah pesan semua staf UTM hadir supaya membawa bekal sendiri.

“Ini adalah usaha kita yang sangat serius memandangkan masalah plastik merupakan isu besar di seluruh dunia,” katanya selepas pelancaran berkenaan di Dewan Rumah Alumni UTM di sini semalam.

Hadir sama Pendaftar UTM, Abdul Razib Shahuddin dan Timbalan Presiden J-Biotech Holdings, Mohamad Naim Mohd Salleh.

Artikel Berkaitan:

Wahid berkata, UTM dan J-Biotech telah bekerjasama sejak tahun lalu untuk inisiatif kampus tanpa plastik sekali guna dan alternatif plastik mesra alam ini.

“Melalui kerjasama tersebut, J-Biotech menyokong inisiatif SDG UTM dan akan membantu memberi khidmat nasihat, informasi serta kesedaran menerusi pameran dan penerangan kepada semua pengusaha, staf serta pelajar yang terlibat dalam pengurusan program rasmi universiti tentang kepentingan penggunaan barangan mesra alam dan sifar plastik sekali guna ini.

“Kita harap kerjasama ini dapat membantu mencapai matlamat sifar sampah iaitu pengurangan kos mengurus sampah sehingga 60 peratus dan mencapai aspirasi matlamat SDG ke-12 iaitu kebertanggungjawaban pengeluaran dan penggunaan,” katanya.

Beliau berkata, SDG merupakan agenda global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memperkenalkan 17 matlamat yang perlu dicapai menjelang 2030 dan merupakan elemen penting sesebuah negara kerana ia merupakan agenda kesejahteraan komuniti dan pertumbuhan ekonomi.

“Kita rasa ini adalah tanggungjawab kita bersama. Bukan hari ini sahaja kita mulakan malah usaha ini telah dilaksanakan sejak enam tahun lalu. Sebelum ini tidak begitu agresif. Telah lama pendidikan telah telah diberikan jadi sudah tiba masa ia perlu dilaksanakan.

“UTM sebagai universiti awam perlu mengambil peranan besar untuk membantu negara dalam menyokong SDG dengan mendidik masyarakat terutamanya dalam mengamalkan gaya hidup lestari.

“Pelancaran program ini merupakan inisiatif berterusan untuk mengaspirasikan pelan kampus rendah karbon, kampus sifar sampah dan kampus pengurusan sampah efektif,” katanya.

UTM budayakan agenda rendah karbon

Wahid berkata, UTM merupakan antara universiti pertama di Malaysia yang membudayakan agenda rendah karbon serta menyokong gaya hidup sihat dan kekal cergas.

“Sebagai contoh, UTM membelanjakan sekitar RM60,000 hingga RM70,000 sebulan dalam pengurusan sisa pepejal dengan purata sekitar 30 sehingga 40 peratus sisa sampah terdiri daripada plastik yang tidak boleh dikitar semula.

“Memandangkan jumlah sisa bukan kitar semula yang semakin meningkat di UTM, satu inisiatif yang dikenali sebagai 'sifar sampah' telah dimulakan tahun lalu yang bermatlamatkan komitmen universiti untuk mengurangkan jejak karbon sehingga 40 peratus menjelang 2020.

“Inisiatif semasa berkaitan sisa plastik dan sampah ini adalah polisi, pelaksanaan dan pemantauan (3P) yang akan mempraktikkan budaya tanpa plastik (zero plastic), penggunaan bahan mesra alam seperti alternatif plastik dan 'Waste-to-Wealth' dalam kampus UTM.

“Anggaran pengurangan karbon yang merupakan hasil daripada program bersepadu kelestarian ini bakal menjadi penanda aras dalam menentukan keberkesanan program pengurangan jejak karbon yang menjadi budaya baru di UTM,” katanya yang memberitahu Hari Tanpa Kereta turut diadakan sebulan sekali dalam usaha mengurangkan kadar pencemaran udara.